Penyanyi, Ernie Zakri. FOTO Aziah Azmee
Penyanyi, Ernie Zakri. FOTO Aziah Azmee
Syafil Syazwan Jefri


Kuala Lumpur: Penyanyi lagu Berakhirlah Pencarianku, Ernie Zakri mengakui janggal untuk melihat lagu duetnya bersama Hafiz Suib itu, akan dinyanyikan oleh penyanyi lain iaitu Wani Kayrie dan Ahmad Syafiq di pentas Separuh Akhir Muzik Muzik 37 (SAMM37).

Walau bagaimanapun, Ernie melihat dari sudut positif, di mana, itu akan menjadi ruang untuknya memberikan tumpuan penuh kepada lagunya, Korban.

"Tentunya, janggal untuk melihat lagu yang kita nyanyikan, dinyanyikan oleh penyanyi lain. Tapi, saya tak lihat dari sudut negatif.

"Dari sudut positifnya, saya dapat memberikan tumpuan penuh kepada lagu saya yang juga adalah karya ciptaan saya sepenuhnya, Korban," katanya.

Menurut Ernie, dia juga akan mengambil peluang itu sekiranya berada di tempat Wani.

"Bagi saya, ini adalah peluang untuk Wani meneroka lebih jauh dalam muzik dan satu tanggungjawab untuk digalas olehnya.

"Kalau saya di tempat dia pun, saya akan terima peluang ini. Jadi, mungkin tak ada rezeki untuk saya menyanyikan lagu itu di SAMM37," katanya.

Menerima berita mengenai penggantian penyanyi itu pada minggu lalu, Ernie menganggap tugasnya hanyalah sebagai penyanyi dan segala keputusan adalah bergantung kepada label dan pengurusan.

"Saya layak memberi kenyataan sebagai penyanyi sahaja. Tanggungjawab saya kepada projek itu adalah selepas ditemukan oleh Rocketfuel dan Nova Music, serta komposer.

"100 peratus keputusan bukan di tangan saya. Mereka yang buat keputusan untuk menentukan hala tuju dan matlamat lagu itu," katanya.

Ernie juga terbuka untuk berkongsi ilmu serta pendapat sekiranya Wani perlukan sesuatu.

"Kalau Wani perlukan apa-apa, Insya-Allah, hubungi sahaja saya," katanya.

Lagu Berakhirlah Pencarianku adalah lagu hasil ciptaan komposer Ikhwan Fatanna dan Wan Saleh manakala liriknya adalah hasil tulisan Datuk A Aida.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 12 November 2022 @ 2:16 PM