NAZURAH Nabilah (belakang, tiga dari kiri), bersama ibu saudara dan tujuh adiknya. FOTO Eizairi Shamsudin
NAZURAH Nabilah (belakang, tiga dari kiri), bersama ibu saudara dan tujuh adiknya. FOTO Eizairi Shamsudin
Asrol Awang


Kuantan: Kerajaan negeri menawarkan Rumah Rakyat Pahang (RRP) bernilai RM65,000 secara percuma kepada lapan beradik yang kematian ibu bapa mereka akibat Covid-19.

Menteri Besar, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata, tapak rumah RRP yang dicadangkan ialah di kampung asal ibu mereka di Rancangan Tanah Felda Kota Gelanggi 2, Jerantut.

Katanya, sementara menunggu rumah itu siap, rumah sewa sementara akan disediakan dan dibiayai oleh kerajaan negeri.

"Saya bersedih dan bersimpati dengan nasib lapan beradik ini kerana yang sulung, Nazurah Nabilah Benyajeed baru berusia 19 tahun manakala adik-adiknya berusia empat hingga 18 tahun, kini tinggal menyewa bersama ibu saudara mereka di Rawang, Selangor.

"Demi melihat mereka kekal tinggal serumah bersama-sama ibu saudara mereka itu, kerajaan negeri membuat tawaran RRP ini manakala ibu saudara mereka akan diberikan elaun bulanan sewajarnya.

"Selain itu, Yayasan Pahang (YP) dan Majlis Ugama Islam dan Adat Resam Melayu Pahang (MUIP) akan membiayai pendidikan mereka yang masih bersekolah.

"Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Pahang sedia menyenaraikan mereka sebagai penerima bantuan bulanannya.

"Pegawai pejabat saya sudah pun menghubungi Nazurah dan saya berharap tawaran ini akan diterima," katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Bapa lapan beradik itu, Benyajeed Bernie, 45, meninggal dunia pada 16 Julai manakala ibu mereka, Noraini Ibrahim, 43, pula pada 18 Julai akibat Covid-19.

Kelmarin, Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob yang melawat keluarga berkenaan berkata, kerajaan akan menyalurkan bantuan bagi kes anak yang kematian ibu bapa akibat Covid-19 supaya masa depan mereka terjamin.

"Pihak Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) akan mendapatkan senarai mereka yang mengalami nasib sama supaya dapat dibantu," katanya.

Kisah lapan beradik itu tular dan mendapat perhatian pengamal media, badan bukan kerajaan (NGO) dan wakil rakyat selepas kisah mereka dimuat naik di Facebook pada Selasa lalu.

Berita berkaitan

Pesanan akhir ayah kekuatan Nazurah jaga tujuh adik

Kerajaan akan bantu anak kematian ibu bapa akibat Covid-19

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 24 Julai 2021 @ 10:37 AM