RAJA Abdul Wafi yang maut diseret lembu. FOTO Ihsan keluarga.
RAJA Abdul Wafi yang maut diseret lembu. FOTO Ihsan keluarga.
Nor Fazlina Abdul

Kota Bharu: 'Lembu itu sudah seperti rakan karib anak, dan menjadi binatang kesayangannya sejak dua tahun lalu.

"Saya tidak sangka ajalnya berakhir disebabkan lembu berkenaan," luah Raja Hishamuddin Raja Yusuf, 29.

Lelaki itu adalah bapa kepada Raja Abdul Wafi, 6, yang maut akibat diseret lembu sejauh 50 meter, di Kampung Rahmat, Jeli, jam 6.40 petang semalam.

Bapa kepada dua cahaya mata itu berkata, sudah menjadi rutin setiap hari anak sulungnya itu akan mengikutnya ke padang untuk mengambil lembu peliharaannya.

"Setiap petang kami berdua akan bersama-sama ke padang mengambil 13 ekor lembu yang ditambat di lokasi berkenaan kira-kira satu kilometer dari rumah.

"Lembu itu memang menjadi kesayangan anak saya kerana sudah dua tahun kami menjaganya sejak Abdul Wafi berusia empat tahun," katanya ketika dihubungi hari ini.

Katanya, ketika kejadian seperti biasa dia akan mencabut tunggul lembu berkenaan serta yang lain untuk melepaskannya, sementara dia dan Abdul Wafi akan mengikut dari belakang dengan motosikal.

"Bagaimanapun ketika itu, saya yang berada tidak jauh dari lokasi tiba-tiba terkejut melihat Abdul Wafi sudah diseret lembu berkenaan, namun saya tidak boleh mengejarnya kerana bimbang lembu berkenaan lari lebih laju.

"Saya tidak tahu bagaimana lembu berkenaan boleh lari, mungkin ketika itu anak saya sedang bergurau dengan lembu itu menyebabkan binatang itu berlari dalam keadaan tali terbelit pada kaki Abdul Wafi.

"Saya hanya menghampiri anak selepas lembu berkenaan berhenti berlari dan ketika itu Abdul Wafi sudah tidak sedarkan diri," katanya sambil menahan sebak.

Raja Hishamuddin berkata, walaupun sedih dengan kehilangan mengejut anak kesayangannya itu, namun dia reda dengan ketentuan takdir.

"Sejak kebelakangan ini Abdul Wafi begitu prihatin terhadap lembu berkenaan dan jika saya ke padang tanpa membawanya, dia akan mengamuk serta merajuk.

"Lembu itu juga sangat jinak dengan anak saya dan apa yang berlaku itu memang mengejutkan kami sekeluarga.

"Malah sehingga kini keadaan emosi isteri saya masih tidak stabil, lebih-lebih lagi dalam keadaan mengandung," katanya sambil memaklumkan jenazah anaknya dikebumikan di Tanah Perkuburan Air Lanas, Jeli.

Dalam kejadian jam 6.40 petang semalam, Raja Abdul Wafi meninggal dunia di Hospital Jeli akibat kecederaan parah di kepala berikutan diseret lembu sejauh 50 meter.

Kejadian berlaku ketika mangsa ke lokasi kejadian bersama bapanya untuk mengambil lembu peliharaan mereka.

Berita berkaitan:

  • Kanak-kanak lelaki maut diseret lembu
  • Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 13 Julai 2021 @ 9:32 PM