AHMAD ditenangkan Hishamuddin berikutan lembu yang diternak mati dipanah petir. FOTO Rabiul Zulkifli
AHMAD ditenangkan Hishamuddin berikutan lembu yang diternak mati dipanah petir. FOTO Rabiul Zulkifli
Ahmad Rabiul Zulkifli


Kuala Terengganu: "Saya menternak lembu ini bersama arwah isteri.

"Kerana itu saya sedih apabila tujuh daripadanya mati akibat dipanah petir kerana saya terkenang susah payah menjaganya bersama isteri," kata kata Ahmad Husin.

Ahmad ditemui pada kunjungan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tepoh Hishamuddin Abdul Karim di rumahnya hari ini.

Turut hadir Penghulu Mukim Tepoh Mohd Razali Ismail dan Pengerusi Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) Kampung Gemuroh Alias Ishak.

Harian Metro semalam melaporkan, Ahmad, 82, dari Kampung Gemuroh kerugian lebih RM20,000 apabila tujuh daripada sembilan lembu ternakannya mati dipanah petir, jam 4.30 petang hari yang sama.

"Lembu itu adalah kenangan saya bersama arwah isteri, Selama Ahmad, yang meninggal dunia akibat sakit tua tiga tahun lalu.

"Sebelum ini, anak-anak sudah meminta saya berhenti daripada menternak lembu namun saya enggan.

"Bukan tidak mahu berhenti tetapi hanya lembu diternak itu menjadi pengubat rindu saya terhadap arwah isteri. Kami menternak lembu itu bersama-sama dan banyak kenangan pahit manis yang dilalui," katanya.

Menurut Ahmad, hanya Allah SWT yang tahu perasaannya namun dia tetap reda dengan takdir berkenaan.

Anaknya, Zulkifli, 46, berkata, dia tidak pernah melihat bapanya

berada dalam keadaan sedih seperti itu.

"Kali terakhir saya melihat bapa bersedih ialah ketika kematian arwah ibu tiga tahun lalu.

"Saya dan adik-beradik lain sudah lama meminta bapa supaya berhenti menternak berikutan faktor usianya namun dia enggan," katanya.

Sementara itu, Hishamuddin yang bersimpati dengan kejadian menghulurkan sumbangan peribadi kepada Ahmad bagi membantu mengurangkan bebannya.

"Memang sedih apabila ternakan mati sekali gus namun ia semua sudah ditakdirkan," katanya.

Berita berkaitan

  • Rugi RM20,000 lembu mati dipanah petir
  • Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 30 Oktober 2020 @ 1:42 PM