LEMBU yang cuba diseludup melalui Sungai Golok di di Kampung Rahmat, Tanjung Baru, Rantau Panjang, Kelantan, semalam. FOTO Ihsan ATM
LEMBU yang cuba diseludup melalui Sungai Golok di di Kampung Rahmat, Tanjung Baru, Rantau Panjang, Kelantan, semalam. FOTO Ihsan ATM
Nurul Hidayah Bahaudin


PERMINTAAN tinggi terhadap lembu sempena sambutan Aidiladha minggu depan dijadikan peluang bagi tiga lelaki yang cuba menyeludup haiwan berkenaan ke negara ini dari Sungai Golok, Rantau Panjang, Kelantan, hari ini.

Bagaimanapun, kegiatan tiga lelaki terbabit terbongkar selepas disedari pasukan Batalion Keempat Rejimen Renjer Diraja dalam rondaan Operasi Benteng (Op Benteng) di Kampung Rahmat, Tanjung Baru, Rantau Panjang, pada 6.40 petang, semalam.

Markas Briged Kelapan Infantri Malaysia dalam kenyataan, hari ini memaklumkan pasukan yang membuat rondaan terbabit terdengar bunyi percikan air dari arah Sungai Golok.

"Pemeriksaan di lokasi itu mendapati terdapat tiga lelaki sedang mengheret lembu dari arah Sungai Golok menuju ke kawasan Malaysia.

"Pasukan bertugas kemudian melakukan serbuan terhadap kumpulan lelaki berkenaan dan berjaya menahan seorang lelaki, manakala dua lagi lelaki berjaya meloloskan diri," katanya.

Kenyataan itu juga memaklumkan hasil tangkapan itu, pihaknya menemui 15 lembu dan merampas dua motosikal Honda yang dianggarkan bernilai RM78,500.

"Individu yang ditahan dibawa ke Balai Polis Lalang Pepuyu, manakala haiwan dan barang rampasan diserahkan kepada pihak Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (MAQIS) Rantau Panjang.

"Lembu yang cuba diseludup ini berkemungkinan untuk dijual di Malaysia memandangkan harga lebih murah di Thailand dan mempunyai permintaan tinggi daripada pembeli di negara ini," katanya.

Katanya, rampasan secara besar-besaran itu memperlihatkan penyeludupan lembu dijangka berulang berikutan sambutan Aidiladha tidak lama lagi.

"Penduduk tempatan dimohon untuk terus memberi sokongan kepada pasukan keselamatan dengan menjadi mata dan telinga dalam menyalurkan sebarang maklumat jenayah rentas sempadan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 23 Julai 2020 @ 9:07 PM