PETUGAS kesihatan ketika proses saringan Covid-19 kepada penduduk di Sekolah Kebangsaan Gong Pasir, Dungun, kelmarin. Majlis Keselamatan Negara (MKN) mengarahkan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketat (PKPD) di tiga lokaliti di Mukim Sura, Dungun membabitkan Rumah Awam Kos Rendah Gong Pasir, Kampung Gong Pasir dan Taman MAIDAM di Terengganu sehingga 23 Julai. FOTO Ghazali Kori
PETUGAS kesihatan ketika proses saringan Covid-19 kepada penduduk di Sekolah Kebangsaan Gong Pasir, Dungun, kelmarin. Majlis Keselamatan Negara (MKN) mengarahkan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketat (PKPD) di tiga lokaliti di Mukim Sura, Dungun membabitkan Rumah Awam Kos Rendah Gong Pasir, Kampung Gong Pasir dan Taman MAIDAM di Terengganu sehingga 23 Julai. FOTO Ghazali Kori
Sri Ayu Kartika Amri dan Raja Noraina Raja Rahim


Kuala Lumpur: Virus Covid-19 boleh terus bermutasi dan mampu menjadi lebih ganas untuk menjangkiti ramai individu.

Kemunculan pelbagai varian ketika ini membuktikan sifat musuh halimunan itu yang bermutasi dan paling membimbangkan boleh menyebabkan tahap kebolehjangkitan tinggi atau penyakit lebih teruk.

Pakar kesihatan awam Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) Prof Dr Sharifa Ezat Wan Puteh berkata, seluruh dunia berdepan ancaman penularan varian membimbangkan (VOC) dan varian yang perlu mendapat perhatian (VOI) itu.

"Sekarang ini varian Delta dikatakan penularan terbesar menjangkiti penduduk dunia selain beberapa varian lain seperti Alpha, Beta, Kappa dan Lambda.

"Begitu juga di Malaysia, varian baharu mungkin ada, tetapi kita tidak tahu berapa peratus. Ini kerana daripada 9,000 kes harian dilaporkan, sebenarnya terdapat tiga hingga empat kali ganda lagi orang dijangkiti di luar," katanya kepada Harian Metro, semalam.

Pada 1 Jun lalu, Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) mengumumkan amalan pengenalan varian Covid-19 mengikut negara mula ditemui, dihentikan dan digantikan dengan huruf Greek bagi mengelakkan mana-mana negara dikaitkan dengan stigma pandemik.

Selain itu, WHO turut memberi amaran bahawa Covid-19 kini berada pada 'fasa sangat berbahaya' akibat ancaman varian Delta yang lebih mudah berjangkit dan sudah dikesan di 98 negara.

Antara varian yang membimbangkan itu adalah jenis Alpha yang dikesan dari United Kingdom, Beta (Afrika Selatan), Gamma (Brazil), Delta (India), Epsilon (Amerika Syarikat), Eta (Nigeria), Iota (Amerika Syarikat), Kappa (India), Lambda (Peru), Theta (Filipina) dan Zeta (Brazil).

Pusat Kesiapsiagaan dan Tindak Cepat Krisis Kebangsaan (CPRC) turut merekodkan 217 kes daripada varian Alpha, Beta, Delta dalam kategori VOC selain Kappa, Theta serta Eta dalam kategori VOI.

Berdasarkan info grafik setakat 30 Jun lalu, varian Beta merekodkan kes tertinggi iaitu 147 kes yang dikesan di seluruh negeri kecuali Labuan.

Mengulas lanjut, Dr Sharifa Ezat tidak menolak kemungkinan virus Covid-19 boleh menjadi seperti wabak Influenza yang bermusim dan mempunyai pelbagai varian.

"Kita tidak pasti vaksin yang ada sekarang ini berkesan terhadap varian baharu itu. Sebab itu ada syarikat pengeluar vaksin mula memperkenalkan suntikan dos ketiga sebagai booster (penggalak) untuk meningkatkan antibodi melawan virus," katanya.

Menurutnya, pengambilan vaksin adalah langkah terbaik bagi memastikan penularan wabak Covid-19 tidak berulang pada masa hadapan.

"Sekiranya lebih ramai mengambil suntikan perlindungan itu, maka ia dapat mewujudkan imuniti kelompok dan terlindung daripada virus," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 12 Julai 2021 @ 1:01 PM