Dr Noor Hisham. FOTO Arkib NSTP
Dr Noor Hisham. FOTO Arkib NSTP
Raja Noraina Raja Rahim

Kuala Lumpur: Sebanyak 298 lagi kes membabitkan pelbagai varian Covid-19 dikesan di seluruh negara, sepanjang tempoh 19 November hingga 8 Disember lalu.

Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, kesemuanya membabitkan varian membimbangkan (VOC) termasuk satu kes varian Omicron manakala varian Delta (290 kes) dan Beta (tujuh).

"Institute of Medical Research (IMR) mengenal pasti 115 kes baharu yang mana 108 ialah varian Delta (B.1.617.2) manakala enam varian Beta (B.1.1351).

"Faculty of Medicine (Fakulti Perubatan)-University of Malaya (FOM-UM) mengenal pasti 109 kes varian Delta dan satu varian Omicron (B.1.1.529).

"Selain itu, Integrative Pharmacogenomics Institute (iPROMISE) mengesan 44 kes baharu yang kesemuanya varian Delta manakala Tropical Infectious Diseases Research & Education Centre (TIDREC) mengesan 17 kes baharu juga varian Delta dan Hospital Pengajar Universiti Putra Malaysia (HPUPM) mengenalpasti 13 kes baharu membabitkan 12 varian Delta serta satu varian Beta," katanya dalam kenyataan hari ini.

Mengulas lanjut, beliau berkata, kes baharu itu menjadikan jumlah kumulatif dijangkiti virus SARS-CoV-2 yang dikategorikan sebagai VOC dan varian berkepentingan (VOI) adalah sebanyak 4,990 kes.

Katanya, daripada jumlah itu, 4,970 kes adalah VOC iaitu 4,722 kes varian Delta, Beta (233), Alpha (14) dan Omicron (1) manakala VOI membabitkan varian Theta (13), Kappa (empat) dan Eta (tiga).

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 11 Disember 2021 @ 9:21 PM