GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
Raja Noraina Raja Rahim


Kuala Lumpur: Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mengesan penularan 10 kes varian baharu yang kesemuanya membabitkan varian Delta (B.1.617.2).

Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, kajian berterusan dilakukan Institut Penyelidikan Perubatan (IMR) mengesan varian itu.

Menurutnya, secara keseluruhan sebanyak 439 kes yang dijangkiti virus dikategorikan sebagai varian membimbangkan (VOC) dan varian mempunyai kepentingan (VOI).

"Daripada jumlah itu, 419 kes adalah VOC manakala 20 kes VOI.

"Bagi VOC terdapat sebanyak 206 kes varian Beta, 199 kes varian Delta dan 14 kes varian Alpha manakala bagi VOI terdapat 13 kes varian Theta, empat kes varian Kappa dan tiga kes varian Eta," katanya dalam kenyataan hari ini.

Mengenai data terkini kadar kebolehjangkitan atau R-naught (Rt) pula, Dr Noor Hisham berkata, Malaysia mencatatkan 1.14.

Katanya, semua negeri mencatatkan Rt melebihi 1.0 kecuali Negeri Sembilan, Labuan dan Perlis.

Beliau berkata, Terengganu mencatatkan Rt tertinggi iaitu 1.30 diikuti Kelantan (1.27) dan Johor, Sabah serta Kedah (1.23).

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 28 Julai 2021 @ 8:25 PM