GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
Amir Abd Hamid


Kuala Lumpur: Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) memaklumkan sebanyak 462 kes baharu varian membimbangkan (VOC) iaitu varian Delta dilaporkan bagi tempoh 19 Januari sehingga hari ini.

Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, Sarawak mencatatkan kes tertinggi varian Delta iaitu 278 kes diikuti Selangor (99), Sabah (34), Kuala Lumpur (34), Pahang (tujuh), Labuan (enam), Putrajaya (tiga) dan Negeri Sembilan (satu).

Secara keseluruhan, katanya, sehingga kini bagi VOC terdapat sebanyak 6,188 kes varian Delta, 439 kes varian Omicron, 233 kes varian Beta dan 14 kes varian Alpha.

Beliau berkata, Institute of Health and Community Medicine, Universiti Malaysia Sarawak (IHCM-UNIMAS) mengenalpasti 278 kes baharu serta Institut Genom dan Vaksin Malaysia (MGVI) mengenalpasti 155 kes baharu.

"Manakala Institut Penyelidikan Perubatan (IMR) mengenalpasti 18 kes baharu, dan Fakulti Perubatan Universiti Malaya (FOMUM) pula mengenalpasti 11 kes baharu.

"Ini menjadikan jumlah kumulatif kes yang dijangkiti oleh virus SARS-CoV-2 yang dikategorikan sebagai VOC dan varian mempunyai kepentingan (VOI) adalah sebanyak 6,894 kes.

"Daripada jumlah yang dikesan itu, 6,874 kes adalah VOC manakala 20 kes adalah VOI," katanya dalam kenyataan media hari ini berkenaan situasi dan maklumat terkini mengenai mutasi spike protein Covid-19 di Malaysia.

Beliau berkata, bagi kes VOI terdapat 13 kes varian Theta, empat kes varian Kappa dan tiga kes varian Eta.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 22 January 2022 @ 8:26 PM