JAMIL Khir (tengah) mendengar pandangan dari Pengerusi 4P Desa KEDA Seberang Paya Kerchut, Mohd Desa Abu (baju batik). Turut hadir, Ismasuhaimi Shariff (empat dari kiri).
JAMIL Khir (tengah) mendengar pandangan dari Pengerusi 4P Desa KEDA Seberang Paya Kerchut, Mohd Desa Abu (baju batik). Turut hadir, Ismasuhaimi Shariff (empat dari kiri).
Oleh Noorazura Abdul Rahman


Alor Setar: Lembaga Kemajuan Wilayah Kedah (KEDA) memperuntukkan sebanyak RM674,000 bagi melaksanakan Projek Pengurusan Sisa Pepejal di Wilayah KEDA (SPIKE) membabitkan 12 lokasi sebagai perintis.

Pengerusinya, Datuk Seri Jamil Khir Baharom berkata, projek itu menunjukkan komitmen KEDA bagi melestarikan kawasan penempatan itu, sekali gus menjadi antara agensi terawal dibawah Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) yang menjayakan projek seumpamanya.

"Projek ini menekankan kepada pembangunan pusat pengumpulan sisa pepejal, tong roro serta aktiviti latihan dan pendedahan mengenai pengurusan sampah yang lebih sistematik dan tersusun di Desa KEDA.

"Kita perlu terapkan budaya baru kepada penduduk iaitu budaya pengurusan kebersihan terutamanya sampah. Biasanya sisa makanan yang kita makan, sisa makanan kita akan buang di belakang atau tepi rumah dan ada di tepi sungai, jadi kita mengambil tanggungjawab ini untuk memastikan alam kita terpelihara," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas Majlis Peluncuran SPIKE di Dataran Dewan Desa KEDA Seberang Paya Kerchut di sini.

Turut hadir, Pengurus Besar KEDA, Ismasuhaimi Shariff, Eksekutif Komunikasi Korporat, Green Resource Recovery Sendirian Berhad, Mohd Syafiq Mohd Zuki dan Timbalan Pengurus Besar (Operasi), Khairul Azmeer Abu Bakar.

Mengulas lanjut, Jamil Khir berkata, seramai 5,000 penduduk desa dijangka menerima manfaat hasil projek pembinaan pusat pengumpulan sisa pepejal ini.

Katanya, agensi terbabit berhasrat memperluaskan SPIKE ke 20 hingga 25 kampung dalam wilayah KEDA pada rancangan Malaysia akan datang bergantung kepada kejayaan projek ini.

"Terima kasih kepada agensi kolaborasi seperti Jabatan Alam Sekitar, SWCorp, E-Idaman dan Green Resource Recovery Sendirian Berhad atas perkongsian kepakaran bersama penduduk desa KEDA.

"Saya berharap agar para penduduk memanfaatkan ilmu yang dikongsi dan mengaplikasi dalam kehidupan masing-masing. Ini adalah salah bentuk keharmonian yang boleh kita bina," katanya.

JAMIL Khir (dua dari kanan) bersama Ismasuhaimi (kanan) melawat  pusat pengumpulan sisa pepejal  di Dataran Dewan Desa KEDA Seberang Paya Kerchut, Alor Setar.
JAMIL Khir (dua dari kanan) bersama Ismasuhaimi (kanan) melawat pusat pengumpulan sisa pepejal di Dataran Dewan Desa KEDA Seberang Paya Kerchut, Alor Setar.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 18 January 2024 @ 11:08 AM