BARISAN pemain Perak FC menuntut tunggakan gaji selama dua bulan yang tertunggak sejak awal tahun ini. FOTO BERNAMA
BARISAN pemain Perak FC menuntut tunggakan gaji selama dua bulan yang tertunggak sejak awal tahun ini. FOTO BERNAMA
Firdaus Hashim

Kuala Lumpur: Pengurusan Perak FC perlu melakukan sesuatu bagi menyelamatkan maruah pasukan itu yang kini terperosok di tangga ke-10 Liga Super selepas menamatkan separuh perjalanan kempen liga setakat ini.

Jika ia tidak diselesaikan dengan segera, tidak mustahil skuad The Bos Gaurus kemungkinan akan muncul antara calon untuk diturunkan pangkat ke Liga Perdana musim depan.

Bermula dengan krisis pertukaran logo dan peletakan jawatan Mehmet Durakovic sebagai jurulatih, Perak FC terus dirundung masalah apabila terpalit dengan isu tunggakan gaji selama dua bulan dan kini, dikhabarkan hampir separuh pemain mahu mengangkat kaki meninggalkan pasukan itu.

Spekulasi perpindahan secara beramai-ramai itu difahamkan kerana ketidakpuasan hati pemain atas kelewatan pembayaran gaji selama sebulan hingga dua bulan.

Ketika ini, jendela perpindahan pemain sudah dibuka sejak Isnin lalu sehingga 30 Mei ini dan khabarnya pemain-pemain Perak FC diibarat seperti 'pisang goreng panas' untuk dibeli oleh beberapa pasukan tempatan.

Bagaimanapun, masa depan pasukan masih boleh diselamatkan lagi dengan pengurusan Perak FC diseru untuk segera melakukan perubahan secara serius.

Naib Presiden Persatuan Bolasepak Perak (PAFA), Abdul Aziz Yeop Jamaluddin berkata, sejak awal musim lagi persiapan pasukan dilihat tidak harmoni terutama dengan Exco Pafa.

"Memang kita dah bergerak berasingan, tetapi PAFA juga adalah pemegang saham terbesar dalam Perak FC. Kadang-kadang kita tak tahu apa yang berlaku dalam Perak FC disebabkan oleh masalah perhubungan.

"Sepatutnya kita boleh berbincang dan cuba selesaikan masalah secara bersama. Walaupun Pafa dah lain, tetapi idea dan cadangan kita boleh berikan. Soal gaji tertunggak itu saya ada dengar cuma saya tak tahu tertunggak berapa bulan.

"Pencapaian Perak sekarang sangat buruk dan tak mustahil disebabkan isu gaji. Saya harap Perak FC dapat selesaikannya secepat mungkin, jika tidak Perak akan catat sejarah buruk bermain di Liga Perdana buat pertama kali dalam sejarah pasukan," katanya kepada Arena Metro.

Sebelum ini, barisan pemain Perak FC menuntut tunggakan gaji selama dua bulan yang tertunggak sejak awal tahun ini. Namun tunggakan itu sudah diselesaikan membabitkan jumlah keseluruhan RM4 juta.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 6 Mei 2021 @ 6:30 AM