MELAKA United antara pasukan Liga M yang terpalit isu tunggakan gaji.
MELAKA United antara pasukan Liga M yang terpalit isu tunggakan gaji.
Firdaus Hashim


Kuala Lumpur: Dua pasukan Liga Super bermasalah iaitu Melaka United dan Sarawak United diberikan tempoh sehingga 31 Januari ini bagi menyelesaikan tunggakan gaji atau mendapatkan persetujuan pembayaran berperingkat berhubung masalah tunggakan gaji pemain dan pegawai pada musim lalu.

Sekiranya masih culas, dua pasukan terbabit secara automatik pada 1 Februari ini dikenakan sekatan perpindahan pemain dan jika masih berdegil selepas 14 hari sekatan itu, kelab terbabit akan berdepan hukuman kedua membabitkan pemotongan mata dalam saingan Liga Super.

Kata dua itu diberikan Ketua Pegawai Eksekutif Liga Bolasepak Malaysia (MFL), Stuart Ramalingam buat kedua-dua pasukan itu yang masih bergelut dengan isu tunggakan gaji ketika ini.

"Terdapat tiga pasukan musim lalu yang berhutang dengan pemain iaitu Perak FC, Melaka United dan Sarawak United. Tetapi Perak kita tahu sudah memiliki pemilik dan sedang berusaha menyelesaikannya dan mereka bergerak dengan profesional.

"Untuk Sarawak pula, pada hujung tahun Sarawak berhutang dengan 39 pemain dan pegawai. Daripada 39 itu, 15 sudah dibayar penuh dan hanya tiga individu sahaja belum menandatangani perjanjian bersama.

"Bermakna 19 pemain lagi sudah menyatakan persetujuan bersama dengan pasukan dan saya mengikuti rapat isu Sarawak dengan PFAM (Persatuan Pemain Profesional Malaysia) ini.

"Untuk itu, pembayaran yang harus dibuat adalah pada 31 Januari, di mana baki tunggakan harus diselesaikan pada 31 Januari ini. Langkah untuk Sarawak daripada MFL adalah, jika tidak membayar penuh atau tidak mendapat persetujuan bersama dengan pegawai dan pemain yang masih berhutang, sekatan perpindahan pada 1 Februari akan dilaksanakan secara automatik.

"Jadi, pada 1 Februari Sarawak berdepan sekatan perpindahan sehingga semua baki hutang diselesaikan. Mereka akan diberi tambahan 14 hari untuk selesaikan tunggakan itu, dan jika masih gagal pemotongan mata akan dilakukan.

"Perkara sama turut dikenakan kepada Melaka United yang diberi tempoh hingga hujung bulan ini, jika tidak akan menerima sekaran perpindahan pada 1 Februari depan," katanya pada taklimat kalendar Liga Malaysia 2022 bersama pengamal media secara dalam talian semalam.

Terdahulu, isu tunggakan gaji kembali hangat apabila beberapa pemain dari pasukan Sarawak United dan Melaka United mendedahkan tidak dibayar gaji sejak tiga hingga empat bulan lalu.

Difahamkan, Sarawak United sudah menyelesaikan dua bulan tunggakan gaji pada bulan lalu, manakala Melaka United pula masih belum membayar gaji pemain yang didakwa sangkut sejak Oktober lalu.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 13 January 2022 @ 7:47 AM