BARISAN pemain Perak FC akan menerima tunggakan gaji selewat-lewatnya Selasa depan. FOTO FB Perak TBG
BARISAN pemain Perak FC akan menerima tunggakan gaji selewat-lewatnya Selasa depan. FOTO FB Perak TBG
Firdaus Hashim


Kuala Lumpur: Semangat dan motivasi barisan pemain dan kejurulatihan pasukan Perak FC pastinya kembali memuncak menjelang sepak mula saingan Liga Malaysia (Liga-M) yang dijadualkan pada 5 Mac ini.

Ia berikutan tunggakan gaji sejak November tahun lalu yang berjumlah RM3.8 juta akan diselesaikan segera oleh kepimpinan Kerajaan Negeri Perak selewat-lewatnya pada Selasa minggu depan.

Menurut Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan, Komunikasi dan Multimedia negeri, Khairul Shahril Mohamed, kerajaan negeri sudah berjaya mendapatkan sumbangan daripada beberapa syarikat GLC untuk membantu menyelesaikan masalah berkenaan.

"Kerajaan Negeri mendapat sumbangan daripada syarikat-syrikat GLC yang turut sama mahu membantu dalam menyelesaikan isu ini.

"Ini adalah komitmen kerajaan negeri untuk menjaga kebajikan para pemain dan pegawai Perak FC," katanya selepas mesyuarat bersama Menteri Besar dan pengurusan Persatuan Bola Sepak Perak (PAFA) di Bangunan Seri Ridzuan di sini hari ini.

Shahril berkata pertemuan itu juga menzahirkan komitmen kerajaan negeri untuk terus membantu pasukan Perak FC.

"Hari ini kita lebih kepada ingin menzahirkan komitmen kerajaan negeri kepada bola sepak kita. Dalam masa yang sama, kita juga meminta supaya kami juga turut terbabit dalam pengurusan PAFA dan Perak FC," katanya.

Beliau juga menjelaskan bahawa penglibatan Kerajaan Negeri di dalam pengurusan pasukan bukanlah untuk memburukkan keadaan dengan kehadiran mereka selaku ahli politik.

Sebaliknya ingin membantu dan meringankan beban kewangan pasukan.

"Sebenarnya penglibatan kami bukanlah untuk mempolitikkan sukan ini tetapi lebih kepada membantu pasukan kita untuk berjaya," katanya.

Isu kepimpinan PAFA bermula selepas bekas presidennya, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu dan timbalannya, Datuk Adly Shah Ahmad Tah mengumumkan peletakkan jawatan berikutan kesukaran untuk mendapatkan tajaan dan bantuan daripada kerajaan.

Namun menerusi usaha Naib Presiden 1 PAFA, Datuk Muhammad Yadzan Mohamad yang memangku tugasan presiden, permasalahan membabitkan persatuan termasuk tunggakan gaji dilihat berada pada landasan tepat untuk diselesaikan.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 4 Februari 2021 @ 8:37 PM