Pemain Sarawak United beraksi dalam saingan Liga M. FOTO Sarawak United
Pemain Sarawak United beraksi dalam saingan Liga M. FOTO Sarawak United
Firdaus Hashim


Kuala Lumpur: "Bayaran tiga bulan itu sampai bulan Oktober saja. Kami harap lagi dua bulan beliau tak lupa".

Itu harapan beberapa pemain dan pegawai skuad Sarawak United yang mengharap baki gaji bagi bulan November dan Disember tidak diabaikan.

Jelas sumber, kontrak yang ditandatangani bersama pasukan naib juara Liga Perdana musim ini itu adalah bermula dari Januari hingga hujung Disember ini.

Justeru, pengurusan Sarawak United itu sebenarnya masih belum menyelesaikan tunggakan gaji sepenuhnya.

"Kontrak pemain dan pegawai berbeza-beza. Ada yang tertunggak sampai lima bulan dan ada juga empat bulan.

"Macam saya, tunggakan lima bulan dan saya boleh sahkan sudah dapat tunggakan untuk tiga bulan seperti yang dimaklumkan pengurusan (Presiden Sarawak United, Datuk Posa Majais) melalui media hari ini.

"Duit itu dah masuk minggu ini dan sekurang-kurangnya ia dapat bantu kehidupan kami yang tak berduit sejak berbulan lalu," katanya.

Menurut seorang lagi anggota pasukan, selain gaji yang sudah dibayar tiga bulan itu, dia mengharapkan agar pihak pengurusan tidak melupakan bonus kemenangan yang dijanjikan.

Ujarnya, walaupun habuan kemenangan itu tidak ditulis dalam kontrak, namun ia dijanjikan sendiri oleh Posa melalui video yang dikongsikannya dalam 'group WhatsApp' pemain.

"Sebenarnya kali terakhir kami jumpa beliau (Posa) adalah pada Mac lalu. Lepas itu kami tak pernah jumpa beliau dan kami diberikan video ucapan beliau sebanyak dua kali yang berjanji untuk beri bonus.

"Memang tak ada hitam putih mengenai pemberian bonus, tapi kami pemain semua ada simpan video itu untuk simpanan kami.

"Tak mengapa lambat, kita faham kekangan dan masalah dihadapi pengurusan nak cari duit. Carilah dulu tak apa, cuma jangan sampai senyap dan lari pula," katanya.

Menerusi laporan akhbar, Sarawak United tidak boleh lagi dilabel sebagai pasukan bermasalah apabila pengurusannya sudah menyelesaikan semua tunggakan gaji pemain mencecah RM2 juta.

Perkara itu disahkan Posa yang menjelaskan semua tunggakan pemain membabitkan tiga bulan gaji sudah diselesaikan minggu ini.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 25 Disember 2021 @ 5:28 PM