PENGERUSI (FIB), Sheikh Mohd Nasir Sheikh Mohd Sharif. -FOTO FIB
PENGERUSI (FIB), Sheikh Mohd Nasir Sheikh Mohd Sharif. -FOTO FIB
Oleh Firdaus Hashim


Kuala Lumpur: Penyelesaian tunggakan bayaran Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) adalah antara syarat wajib bagi semua pasukan Liga Malaysia (Liga M) sebelum sekatan perpindahan pemain ditarik balik.

Jelas Pengerusi First Instance Body (FIB) Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Sheikh Mohd Nasir Sheikh Mohd Sharif, perkara terbabit sememangnya ada dalam manual peraturan syarat pelesenan kelab Liga M.

Bagaimanapun, beliau tidak dapat menjawab persoalan yang ditimbulkan oleh bekas pemain Kelantan FC, Rozaimi Rahamat apabila mendakwa skuad The Red Warriors (TRW) masih lagi berhutang babitkan pembayaran KWSP yang tertunggak tiga bulan dari Januari, Februari dan Mac 2023.

"Mengenai dakwaan itu (pendedahan Rozaimi), saya perlu melihat dulu apa yang dilaporkan dan saya tak sempat melihat lagi.

"Keduanya, mungkin penarikan balik sekatan perpindahan pemain kepada Kelantan FC baru-baru ini adalah kes lama, dan saya perlu buat semakan adakah dakwaan pemain itu adalah kes lama atau baru.

"Mungkin sekatan yang ditarik balik itu adalah kes sebelum ini, 'time line' itu kadang-kadang tak sama.

"Seterusnya adakah pemain itu sudah membuat aduan mengenai tunggakan KWSP kepada FAM atau kepada PFAM (Persatuan Pemain Bolasepak Profesional Malaysia). Jadi semua itu saya perlu semak dulu sebelum mengulas lanjut.

"Tapi memang sepatutnya pasukan kena selesaikan semua tunggakan termasuk gaji dan KWSP sebelum sekatan ditarik balik," katanya ketika dihubungi Arena Metro.

Semalam, Rozaimi akui TRW masih lagi berhutang potongan KWSP untuk tiga bulan, dengan kelab terbabit hanya menyelesaikan potongan KWSP untuk bulan April sahaja.

Katanya, selepas pengumuman oleh Liga Bolasepak Malaysia (MFL) yang menarik semula sekatan perpindahan pemain pada 27 Julai lalu, dia terus melakukan semakan di akaun KWSP miliknya.

Begitupun, Rozaimi hairan apabila bayaran KWSP itu masih lagi belum diselesaikan ketika MFL pula menarik balik sekatan berkenaan.

Untuk rekod, sebaik saja sekatan perpindahan ditarik balik, Kelantan FC terus mengumumkan kemasukan empat awang import baharu pada hari terakhir jendela pemain ditutup Selasa lalu apabila mengikat Dennis Buschening, Alie Sesay, Ahmed Magdy dan Aliakbar Ahmadi.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 5 Ogos 2023 @ 2:43 PM