PEMAIN skuad Helang Merah ketika sesi latihan. - FOTO FB FA KEDAH
PEMAIN skuad Helang Merah ketika sesi latihan. - FOTO FB FA KEDAH
Firdaus Hashim


KUALA LUMPUR: Situasi dalaman pasukan Kedah kini semakin meruncing apabila beberapa pemain skuad Helang Merah mula 'bengang' dan mahu tunggakan gaji sejak bulan Mac lalu segera diselesaikan.

Malah, pengurusan baharu Persatuan Bolasepak Kedah (KFA) yang kini diterajui oleh Menteri Besarnya, Muhammad Sanusi Md Nor selepas kongres luar biasa badan induk itu 12 Julai lalu masih belum menunjukkan tanda-tanda untuk menyelesaikan masalah itu.

Difahamkan, selepas hampir seminggu lebih pelantikan Sanusi itu, barisan pemain tertanya-tanya bilakah Presiden KFA itu akan bertemu pasukan yang kini terhimpit untuk meneruskan kelangsungan hidup.

Penjaga gol Kedah, Shahril Saari antara yang lantang memperjuangkan nasib pasukan apabila meluahkan kekecewaannya di laman Instagram miliknya sambil menanyakan bilakah penderitaan mereka akan berakhir.

"Apa ke 'gila' lima bulan tak ada berita (gaji tertunggak) apa nie. Yang baru masuk untuk penuh tempat kosong je?" soal Shahril.

Luahan sama turut dikongsikan pertahanan import berasal dari Singapura, Shakir Hamzah yang mengakui kehidupannya semakin sukar kerana tidak dibayar gaji.

"Ada tak doa untuk sotong timbul cepat sikit? Nazak da nie. Pening ai...," kata Shakir.

Seorang lagi awang import dari Brazil, Renan Alves turut bersuara dengan menaikkan status emoji lima jari menandakan tunggakan gaji lima bulan.

Kemelut ini perlu segera diatasi oleh pengurusan baharu KFA menjelang sepak mula saingan Liga Malaysia yang kembali bersambung pada 26 Ogos depan.

Untuk rekod, Sanusi memenangi jawatan Presiden KFA selepas menang tanpa bertanding yang turut menyaksikan legenda skuad Hijau Kuning era 1980-an dan 1990-an, Radhi Mat Din juga menang bagi jawatan naib presiden.

Mereka dipilih oleh 36 ahli gabungan KFA yang menghadiri kongres luar biasa itu.

Jawatan presiden KFA sebelum ini disandang oleh Datuk Seri Mukhriz Mahathir manakala Anas Hafiz Mustaffa sebagai naib presiden.

Mereka melepaskan jawatan masing-masing susulan peralihan kepemimpinan kerajaan negeri, baru-baru ini.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 24 Julai 2020 @ 6:45 AM