Nazarali SaerilAmir Abd HamidMuhamaad Razis Ismail dan Muhammad Saufi Hassan dan Nurul Husna Mahmud


Kuala Lumpur: RM55.4 bilion. Itu nilai makanan diimport Malaysia pada 2020 berbanding RM45.3 bilion pada 2015.

Menteri Pertanian dan Industri Makanan Datuk Seri Dr Ronald Kiandee berkata, nilai import makanan menunjukkan peningkatan 22.3 peratus.

Beliau berkata, import makanan yang masih tinggi membabitkan kopi, koko, teh, rempah, bijirin dan sediaan bijirin serta bahan makanan untuk ternakan.

"Kebergantungan terhadap import adalah untuk beberapa makanan antaranya makanan ternakan, sayur-sayuran dan buah-buahan.

"Malaysia masih perlu mengimport komoditi makanan seperti makanan haiwan, baja dan sayur-sayuran beriklim sederhana seperti gandum, bawang dan ubi kentang.

"Ini kerana komoditi ini tidak ekonomik untuk dihasilkan di Malaysia kerana harganya akan menjadi lebih tinggi daripada import selain faktor cuaca negara yang tidak sesuai," katanya.

Ronald berkata, peningkatan import makanan juga trend yang tidak dapat dielak jika diambil kira permintaan pasaran tempatan, import bahan mentah untuk tujuan aktiviti pemprosesan dan nilai tambah.

Sebagai contoh, katanya, keratan ayam diimport untuk pemprosesan nilai tambah, walaupun pengeluaran Tahap Sara Diri untuk daging ayam sudah melebihi 100 peratus.

"Selain itu, pengimportan buah-buahan seperti oren, epal dan anggur dipengaruhi permintaan pasaran tempatan," katanya.

Menurutnya, bagi menangani perkara itu, Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (Mafi) akan terus melaksanakan beberapa inisiatif untuk meningkatkan produktiviti dan pengeluaran makanan domestik.

Antaranya, menurut beliau, meningkatkan pengeluaran padi dan beras melalui Program Pengurusan Nutrien Lokasi Spesifik (SSNM) serta Program Smart Sawah Berskala Besar (Smart SBB) di samping pengenalan varieti baharu rintang penyakit, cuaca selain berproduktiviti tinggi.

"Kita akan tingkatkan pengeluaran tanaman sayur dan buah dengan membangunkan Taman Kekal Pengeluaran Makanan (TKPM) atau Agropark menerusi aplikasi teknologi moden seperti teknologi pertanian menegak (vertical farming) dan kilang tanaman (plant factory).

"Penekanan khusus juga diambil terhadap amalan pertanian baik seperti myGAP dan myOrganic serta Integrated Pest Management (IPM)," katanya.

Ronald berkata, kerajaan menubuhkan Lembaga Ruminan Negara bagi meningkatkan pengeluaran ternakan khususnya daging lembu.

Untuk meningkatkan pengeluaran perikanan pula, katanya, ia dibuat melalui pendekatan Ecosystem Approach Fisheries Management (EAFM) dan perluasan Monitoring, Control and Surveillance (MCS) dengan penekanan kepada pengurusan perikanan secara mampan.

"Mafi turut menggalakkan penyertaan golongan muda melalui Program Agropreneur Muda dan Program Latihan Kemahiran Pertanian Kebangsaan.

"Kami membantu meningkatkan akses usahawan kepada sumber kewangan melalui pelbagai skim pembiayaan di bawah Agrobank dan kerjasama strategik dengan institusi kewangan lain.

"Inisiatif dipergiatkan melalui projek pembangunan di bawah Rancangan Malaysia Kedua Belas (RMK-12)," katanya.

Ronald juga menjelaskan pandangan umum bahawa pengeluar produk makanan tempatan tidak cukup pantas menyediakan bekalan untuk warga tempatan dan kerana itu ia terpaksa diimport adalah kenyataan kurang tepat.

Pada masa kini, katanya, negara berupaya menghasilkan kebanyakan bahan makanan asas diperlukan termasuk beras, sayur-sayuran, buah-buahan, daging ayam, itik, lembu, kerbau, telur ayam, itik, susu segar dan ikan.

"Berdasarkan kadar pengeluaran makanan negara, Tahap Sara Diri bagi daging ayam/itik, telur ayam/itik dan ikan melebihi 90 peratus.

"Bagi buah-buahan dan sayur-sayuran tempatan, Malaysia sudah mencapai Tahap Sara Diri melebihi 100 peratus kecuali bagi buah mangga, kelapa, kubis, cili dan halia.

"Beberapa bahan makanan lain seperti daging lembu, beras, sayur-sayuran dan buah-buahan beriklim sederhana seperti kubis, bawang, epal, oren, untuk ini negara masih bergantung kepada import bagi memenuhi keperluan domestik," katanya.

Ronald berkata, bagi komoditi pada tahap pengeluaran rendah seperti daging lembu dengan Tahap Sara Diri sekitar 22.3 peratus, tumpuan khusus dan penekanan diberikan melalui pelbagai inisiatif.

"Antaranya seperti Projek Taman Kekal Pengeluaran Ruminan (TKPR), Program Pembangunan Industri Ruminan (PROPER), Skim Rezeki Ternak; penambahbaikan infrastruktur dan perluasan aktiviti pengembangan serta perkhidmatan teknikal.

"Inisiatif ini akan diterajui Lembaga Ruminan Negara kelak serta digariskan dalam Pelan Strategik Pembangunan Industri Pedaging Negara yang sedang dilaksanakan Jabatan Perkhidmatan Veterinar Malaysia (JPV)," katanya.

Hasil terhad gagal penuhi permintaan

Kuala Lumpur: Petani mengakui berdepan masalah untuk memenuhi permintaan pelanggan kerana hasil pertanian yang terhad.

Ada yang berpandangan, masalah tanah terhad serta kekurangan individu yang mahu terbabit dalam bidang pertanian menyebabkan bekalan sangat terhad.

Oleh itu, ada dalam kalangan mereka terpaksa mengimport bekalan dari luar negara untuk memenuhi permintaan pasaran tempatan.

Perkara ini diakui Abdul Hakim Abu Bakar, 30, yang terbabit dengan penanaman kelapa sejak lima tahun lalu.

Katanya, pada setiap bulan, kebun kelapa seluas 8.9 hektar diusahakannya di Kampung Pulau Raja, Tumpat, Kelantan mampu mengeluarkan hasil sehingga 20,000 biji kelapa.

"Namun jumlah itu hanya diperuntukkan untuk memenuhi pasaran di negeri ini saja kerana ia tidak mencukupi. Saya terpaksa dapatkan bekalan daripada pembekal kelapa dari Indonesia.

"Permintaan kelapa meningkat terutama pada musim perayaan untuk membuat dodol, serunding dan sebagainya," katanya.

Mengulas lanjut, Abdul Hakim berkata, dia turut difahamkan, masalah kekurangan bekalan kelapa juga dihadapi di negeri lain.

"Kekurangan petani, terutama dalam kalangan generasi muda untuk menceburi bidang ini menjadi antara punca negara tidak mampu menyediakan bekalan kelapa mencukupi.

"Pada masa depan, saya merancang meluaskan lagi penanaman kelapa supaya dapat memenuhi permintaan bukan saja pasaran Kelantan malah negeri lain," katanya.

Smart Sawah optimum produktiviti industri beras

Kuala Lumpur: Secara puratanya, keperluan tahunan beras bagi rakyat Malaysia adalah 2.5 juta tan metrik manakala pengeluaran beras negara pula sekitar 70 peratus daripada keperluan itu.

Menteri Pertanian dan Industri Makanan Datuk Seri Dr Ronald Kiandee berkata, negara mengimport 700,000 hingga 900,000 tan metrik beras setiap tahun atau sekitar 30 peratus.

Sehubungan itu, beliau berkata, Jawatankuasa Kabinet Mengenai Dasar Sekuriti Bekalan Makanan Negara pada 8 September 2020 antara lain bersetuju untuk Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (Mafi) mengkaji semula kemampanan industri padi dan beras negara termasuk mengoptimumkan produktiviti di kawasan sawah sedia ada.

"Bagi mencapai hasrat itu dan menjadikan industri padi dan beras negara lebih kompetitif serta berdaya saing di sepanjang rantaian nilai industri, Mafi memperkenalkan program Smart Sawah Berkala Besar (Smart SBB).

"Secara umumnya, Program Smart SBB satu daripada inisiatif menyatukan tanah sawah secara pertanian kontrak atau sewaan melalui satu pengurusan.

"Ia sekali gus dapat mengoptimumkan penggunaan sumber dan meningkatkan kecekapan aktiviti penanaman serta pengeluaran hasil lepas tuai," katanya.

Mengulas lanjut, katanya, majoriti pesawah dalam industri padi dan beras negara masih mengusahakan tanah sawah bersaiz tidak ekonomik iaitu kurang dua hektar.

"Pelaksanaan inisiatif akan membuka peluang kepada pemain industri untuk memainkan peranan dalam keseluruhan atau mana-mana peringkat rantaian nilai industri padi dan beras negara pasca pandemik Covid-19.

"Program ini turut menyasarkan peningkatan purata hasil per hektar nasional daripada purata hasil semasa 3.5 tan metrik pada 2019 kepada 7.0 tan metrik dalam tempoh Rancangan Malaysia Kedua Belas (RMK-12)," katanya.

Menurut beliau, diakui ada sebahagian kecil kawasan dalam jelapang mencatatkan pengeluaran melebihi 10.0 tan metrik per hektar pada masa ini.

Namun menurutnya, kawasan jelapang dan keseluruhan kawasan luar jelapang hanya mencatatkan purata hasil per hektar masing-masing 4.4 tan metrik dan 2.5 tan metrik pada 2019.

"Setakat ini, 11 syarikat peneraju sudah menandatangani memorandum persefahaman (MOU) bersama Mafi.

"Mafi sedang mengadakan libat urus dengan semua pihak berkepentingan bagi tujuan penyelarasan pelaksanaan program.

"Pendekatan baharu ini akan membantu negara mencapai sasaran Tahap Sara Diri (SSL) beras ditetapkan dalam tempoh RMK-12 iaitu 75 peratus," katanya.

Untuk rekod, katanya, pada 2019, jumlah import beras 890,101 tan metrik bernilai RM1.5 bilion.

Menurutnya, kuantiti beras diimport pada 2019 berkurangan berbanding 2015 iaitu penurunan 7.4 peratus.

Tanah pertanian bertukar hutan batu

Kuala Lumpur: Masalah tanah pertanian yang semakin berkurangan di negara ini boleh memberi kesan kepada keselamatan makanan negara.

Jika dulu, banyak tanah pertanian subur diusahakan dengan pelbagai aktiviti pertanian termasuk sawah padi, kebun buah-buahan dan sebagainya.

Namun kini, sebaliknya berlaku apabila tanah sebelum ini dipenuhi tanaman berubah sekelip mata menjadi hutan batu.

Prof Madya Dr Normaz Wana Ismail dari Sekolah Perniagaan dan Ekonomi Universiti Putra Malaysia (UPM) berkata, kekurangan tanah pertanian semakin serius berikutan proses urbanisasi.

"Apabila jumlah penduduk bertambah, tempat tinggal sedia ada tidak mencukupi.

"Oleh itu, tanah termasuk tanah pertanian terpaksa dikorbankan untuk pelbagai projek pembangunan seperti rumah, sekolah dan sebagainya," katanya.

Selain itu, masalah lain adalah, kebanyakan tanah pertanian di negara ini mempunyai keluasan terhad dan ia sekadar untuk menampung keperluan sendiri atau keluarga.

"Contoh, ada banyak tanah pusaka yang dipecahkan untuk dibahagikan kepada keluarga sehingga keluasannya menjadi kecil untuk aktiviti pertanian.

"Apabila bercakap mengenai keselamatan makanan negara, ia memerlukan pengeluaran berskala besar untuk menampung keperluan rakyat," katanya.

Tambah beliau, kekurangan petani terutama membabitkan golongan muda turut menyumbang kepada permasalahan tanah pertanian semakin berkurangan.

"Ramai tidak berminat menceburi bidang ini dan ia mengakibatkan banyak tanah pertanian terbiar dan ditukar status pembangunan.

"Sebenarnya, banyak inisiatif diambil kerajaan untuk melahirkan usahawan tani terutama membabitkan golongan muda namun jumlahnya masih belum mencukupi," katanya.

Beliau melihat penggunaan teknologi pertanian baharu dapat membantu mengatasi masalah pengeluaran hasil pertanian berikutan kekurangan tanah.

"Teknologi baharu ini penting untuk meningkatkan pengeluaran hasil pertanian dan perkara ini dibuktikan di luar negara," katanya.

Normaz Wana turut mencadangkan penggunaan tanah yang tidak sesuai untuk pertanian, dimanfaatkan untuk aktiviti penternakan.

"Kita hanya hasilkan 25 peratus daging dan bakinya kita import dari luar.

"Untuk penternakan sebenarnya, kita ada tanah mencukupi namun berdepan masalah kekurangan penternak biarpun ia mampu memberi pulangan lumayan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 2 Mei 2021 @ 12:00 PM