RONALD (tengah), menyaksikan pertukaran MoU ketika Majlis Perasmian dan Pelancaran Logo Smart SBB, Aplikasi Rice Information Management System (RIMS), Ladang '57 Beras Wangi Horeca dan 3FR SOP Manual di Laman Padi Maeps, Serdang. FOTO Mohamad Shahril Badri Saali
RONALD (tengah), menyaksikan pertukaran MoU ketika Majlis Perasmian dan Pelancaran Logo Smart SBB, Aplikasi Rice Information Management System (RIMS), Ladang '57 Beras Wangi Horeca dan 3FR SOP Manual di Laman Padi Maeps, Serdang. FOTO Mohamad Shahril Badri Saali
Raja Noraina Raja Rahim


Serdang: Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (Mafi) akan menggunakan teknologi dalam pengurusan sawah dan mekanisasi ladang secara meluas termasuk subsektor padi bagi memastikan pengeluaran padi serta beras diperkukuh.

Menteri Pertanian dan Industri Makanan, Datuk Seri Dr Ronald Kiandee berkata, subsektor padi tidak terkecuali berdepan cabaran bukan saja daripada segi kaedah penanaman dan pengurusan tanaman malah konsep pelaksanaan.

"Bagi mendepani cabaran itu, Mafi memperkenalkan satu sistem sokongan keputusan digital yang menggunakan teknologi, kecerdasan buatan, data raya dan teknologi sensor atau satelit untuk memberikan nasihat masa nyata, ramalan serta preskripsi industri penanaman padi.

"Sistem berkenaan dikenali Aplikasi Rice Information Management System (RIMS) yang dibangunkan Syarikat Agrocloud Sdn Bhd dengan kerjasama Kawasan Pembangunan Pertanian Bersepadu (IADA) Barat Laut," katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Perasmian Laman Padi dan Pelancaran Logo Smart Sawah Berskala Besar (Smart SBB), Aplikasi RIMS, Ladang '57 Beras Wangi Horeca serta 3FR SOP Manual pada Pameran Pertanian, Hortikultur dan Agropelancongan Malaysia (Maha) 2022 di Taman Ekspo Pertanian Malaysia Serdang (Maeps) di sini, hari ini.

Turut hadir, Timbalan Menteri Mafi 1, Datuk Seri Ahmad Hamzah, Timbalan Menteri Mafi 2, Dr Nik Muhammad Zawawi Salleh dan Ketua Setiausaha Mafi, Datuk Haslina Abdul Hamid.

Mengulas lanjut, Ronald berkata, meskipun negara berdepan cabaran dalam pembangunan subsektor padi, pengeluaran beras negara terus kekal stabil.

Beliau berkata, sejak Smart SBB diperkenalkan pada tahun lalu melalui pembabitan 24 syarikat peneraju, seramai 5,000 pesawah terbabit dengan keluasan sawah melebihi 11,000 hektar di sembilan negeri.

"Daripada segi prestasi pelaksanaan, program Smart SBB terbukti dapat meningkatkan purata hasil padi sehektar di kawasan terbabit. Sebagai contoh di Sekinchan, Selangor, kawasan padi seluas lebih 100 hektar berjaya meningkatkan purata hasil hampir empat kali ganda iaitu daripada 2.5 tan metrik sehektar kepada lapan hingga 10 tan metrik sehektar.

"Selain itu, kejayaan program itu juga dimanifestasikan dalam penghasilan produk baru oleh syarikat peneraju yang terbabit. Produk baru berasaskan varieti beras istimewa iaitu Ladang'57 Beras Wangi HoReCa adalah hasil ladang Smart SBB yang dihasilkan peserta program di Seberang Perak, Perak dan Barat Laut, Selangor yang diselia oleh Syarikat peneraju FGV," katanya.

Katanya, kejayaan dan pencapaian itu menjadi mercu tanda bahawa program Smart SBB berjaya meningkatkan hasil, pendapatan dan taraf hidup pesawah.

Melangkah ke hadapan, kata beliau, Mafi bersama Smart SBB menandatangani dokumen perjanjian persefahaman (MoU) dengan tiga syarikat peneraju iaitu Syarikat Mastani Sdn Bhd, Konsortium Padi dan Beras Rakyat Sdn Bhd serta Syarikat Qudsi Global Sdn Bhd.

Beliau berharap lebih banyak syarikat swasta akan menyertai program Smart SBB bagi menjayakan matlamat disasarkan oleh kerajaan iaitu tahap sara diri (SSL) beras kepada 75 peratus menjelang 2025.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 7 Ogos 2022 @ 1:43 PM