FARHAN (kanan) bersama Hisyam Hamid.
FARHAN (kanan) bersama Hisyam Hamid.
Najiy Jefri

Kuala Lumpur: Pelakon Farhan Asri terkejut apabila dikatakan memiliki wajah iras pelakon Hisyam Hamid selepas mereka digandingkan sebagai adik-beradik dalam drama bersiri Cukup Derita Itu yang kini ditayangkan di slot Samarinda TV3.

Farhan berkata, dia juga ada menerima beberapa kiriman foto yang menyamakan wajahnya dengan bintang kelahiran Singapura itu di Instagram, namun hanya mampu ketawa dan menganggapnya bagai langit dan bumi.

"Mungkin sekali imbas ada iras tapi saya tak rasa kami memiliki wajah serupa. Apapun, okaylah apabila ada yang kata kami ada iras dan digabungkan sebagai adik-beradik dalam drama ini.

"Sebenarnya saya agak malu kerana wajah kami memang tak sama. Tambahan pula Hisyam seorang pelakon yang cukup disegani dan hebat, manakala saya ini hanyalah insan yang baru nak mengintai peluang dalam bidang ini.

"Apapun komen positif yang diberi saya jadikan perkara itu sebagai pembakar semangat supaya saya berjaya sepertinya satu hari nanti," katanya.

Menurut Farhan, biarpun sudah empat tahun mengintai peluang sebagai pelakon, dia tidak pernah berputus asa untuk menantikan bakat seninya dikenali ramai.

"Saya masih anggap perjalanan saya dalam bidang lakonan ini masih baru. Tempoh empat tahun ini mengajar saya banyak perkara.

"Mungkin separuh orang menganggap saya sepatutnya sudah dikenali ramai atau popular, tapi bagi saya biarlah nama saya lambat naik asalkan tawaran lakonan sentiasa ada.

"Apa yang paling membimbangkan saya jika kehadiran saya dikenali ramai tapi tiba-tiba nama merudum dan hilang dari industri seni. Itu lebih menggerunkan sebab bidang lakonan adalah punca utama rezeki saya .

"Alhamdulillah sepanjang empat tahun ini tawaran lakonan sentiasa ada, tidak kiralah watak pembantu atau utama. Ada saja penerbit yang tidak pernah saya bekerjasama memberi saya peluang seperti dalam drama Cukup Derita Itu terbitan SR One Sdn Bhd," katanya.

Selain Farhan dan Hisyam, drama bersiri 40 episod arahan Along Kamaludin itu turut dibintangi Ruhainies, Chacha Maembong, Jasmin Hamid dan Lia Natalia.

Cukup Derita Itu kini sedang ditayangkan di TV3 menerusi slot Samarinda setiap Isnin hingga Khamis jam 10 malam.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 19 Mei 2021 @ 4:23 PM