CUKUP Derita Itu sarat dengan konflik dan masalah keluarga.
CUKUP Derita Itu sarat dengan konflik dan masalah keluarga.
Najiy Jefri


PENERBIT, Siti Rosmizah tidak serik apabila beberapa drama terbitannya terpaksa melalui pengalaman sukar sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan sejak tahun lalu.

Siti Rosmizah berkata, sejak dia memulakan penggambaran drama 7 Hari Mencintaiku 2 lakonan Shukri Yahya dan Siti Saleha tahun lalu, pihaknya terpaksa menangguhkan aktiviti penggambaran drama terbabit.

"Selain 7 Hari Mencintaiku 2, drama Cukup Derita Itu terbitan SR One Sdn Bhd turut berdepan masalah sama. Kami terpaksa tangguhkan penggambaran beberapa kali kerana PKP.

"Setakat ini belum ada rezeki dan peluang yang indah untuk menjalankan penggambaran drama dalam keadaan yang seronok. Rasanya drama 7 Hari Mencintaiku musim pertama saja yang berlangsung dengan baik.

"Namun, saya okay saja sebab ini adalah dugaan dan keadaan yang perlu kita hadapi sekarang," katanya ketika ditemui secara maya pada sesi mempromosikan drama Cukup Derita Itu yang ditayangkan semula sambungannya sejak Isnin lalu.

Drama bersiri 40 episod terbitan SR One Sdn Bhd itu terpaksa menghentikan siarannya ketika episod ke-20 pada 9 Jun lalu apabila sesi penggambaran tidak dapat diteruskan dalam keadaan negara kita sedang melaksanakan PKP 2.0 ketika itu.

Drama arahan Along Kamaludin itu diterajui Hisyam Hamid, Ruhainies dan Chacha Maembong.

DRAMA 40 episod terpaksa dihentikan siaran pada episod ke-20 akibat pandemik.
DRAMA 40 episod terpaksa dihentikan siaran pada episod ke-20 akibat pandemik.

Ia turut menampilkan barisan pelakon handalan tanah air seperti Jasmin Hamid, Didie Alias, Fahrin Ahmad, Farhan Asri, Lia Natalia, Mubarak Majid, Hafidzuddin Fazil, Rosnah Johari, Dian P Ramlee, Balkisyh Semundur Khan dan ramai lagi.

Cukup Derita Itu mengisahkan Ellani (Ruhainies) bernikah dengan Zarul (Hisyam Hamid) walaupun Ellani tidak mempunyai perasaan cinta terhadap lelaki yang hampir menikahi kakak kembarnya, Ellana (Chacha Maembong).

Sejak kecil, Ellani dan Ellana yang dibesarkan oleh ibu saudara mereka, Mak Ngah Gayah (Jasmin Hamid) tidak menerima layanan sama.

Ellana dilayan bagaikan puteri manakala Ellani dilayan seperti hamba. Hanya Datin Mahani dan Salwa yang menjadi tempat Ellani menagih kasih sayang dan simpati.

Ditanya mengenai penampilan setiap pelakon dalam drama terbabit, Siti Rosmizah mengakui berpuas hati dengan lakonan bersahaja yang diberikan setiap pelakon.

"Walaupun penggambaran beberapa kali terhenti, setiap pelakon masih dapat memegang watak mereka dengan baik. Saya sangat teruja dan berpuas hati dengan lakonan setiap pelakon.

"Tidak dinafikan, masing-masing mempamerkan watak yang tersendiri dan memberi impak kepada penonton. Terdapat juga pelakon yang saya sudah hubungi untuk tawarkan drama yang seterusnya," katanya.

Cukup Derita Itu ditayangkan setiap Isnin hingga Khamis, jam 10 malam di slot Samarinda di TV3 dan perkhidmatan penstriman iQiyi.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 18 November 2021 @ 6:49 AM