LEBIH bersedia untuk terima kritikan, menyesal dengan tindakan sebelum ini.
LEBIH bersedia untuk terima kritikan, menyesal dengan tindakan sebelum ini.
Syafil Syazwan Jefri

Usia muda menjadikan seseorang manusia itu tidak mampu terlepas daripada melakukan pelbagai kesilapan. Namun, seiring dengan perubahan waktu dan peningkatan usia, semua itu dijadikan pelajaran dan pengajaran buat diri sendiri.

Bagi penyanyi, Nomad, dia tidak menafikan pernah melakukan kesilapan sepanjang kehidupannya sama seperti kebanyakan orang lain.

Lima tahun menyepi, Nomad, 32, atau nama sebenarnya Nur Mohd Alieff Ayub berkongsi mengenai fasa kematangan yang mula dirasakan bukan sahaja dalam kehidupan, bahkan diatur untuk karier seninya.

"Selama ini ada benda salah dan kesilapan yang saya lakukan. Namun, itu semua dijadikan sebagai pelajaran yang mematangkan diri.

"Anjakan paradigma dalam kehidupan saya berlaku berdasarkan pengalaman masa lalu saya," katanya.

Menurut penyanyi yang berasal dari Terengganu itu, dia juga kini lebih matang dalam berdepan pelbagai situasi rencah kehidupan sebagai anak seni.

"Apa yang boleh dikatakan, saya kini lebih matang dalam berdepan pelbagai situasi. Perlahan-lahan, saya mengadaptasikan diri seiring dengan peningkatan usia.

"Kalau dulu, bila dikritik dengan kritikan pedas, saya mula terjentik. Sekarang, sepedas mana pun kritikan yang dilemparkan, saya boleh terima dengan hati terbuka.

"Setiap kali dilontarkan dengan kritikan negatif, saya ambil itu sebagai pembakar semangat untuk membuktikan kata-kata mereka itu tidak benar," katanya.

Ditanya sama ada timbul rasa kesal apabila mengambil keputusan untuk meninggalkan dunia hiburan suatu ketika dahulu, Nomad tidak menafikan hakikat itu.

"Saya menyesal. Dulu, kritikan boleh membuatkan saya tertekan. Kini, saya tak mahu lagi membuang masa. Saya tak nafikan, tempoh lima tahun saya menghilangkan dari industri, adalah satu tempoh yang membazir untuk karier seni saya.

PENGALAMAN mengajar Nomad agar menjadi lebih matang.
PENGALAMAN mengajar Nomad agar menjadi lebih matang.

"Kalau kita hilang dalam sebulan pun, sudah membazir, ini kan pula lima tahun. Banyak perkara yang boleh saya lakukan dalam tempoh itu untuk menaikkan karier dan nama saya. Jadi, kali ini, saya takkan hilang lagi," katanya.

Berkongsi mengenai kritikan pedas yang pernah diterimanya, Nomad mengakui masih mengingati kata-kata itu.

"Suatu ketika dahulu, ada orang pernah cakap saya tak boleh menyanyi secara langsung. Itu kata-kata yang paling terkesan buat diri saya. Jadi, saya sudah buktikan kemampuan saya dengan menyertai Gegar Vaganza 7 (GV7)," katanya.

Berkongsi perkembangan terbarunya, Nomad sedang menjalani penggambaran untuk video muzik single terbarunya berjudul Tanda Setia.

"Ia adalah karya ciptaan saya sepenuhnya dan mengisahkan mengenai kisah cinta monyet dan karakter seorang lelaki yang ditinggalkan kekasihnya. Dalam erti kata lain, ia adalah lagu sedih dengan rentak balada.

"Sejujurnya, jalan cerita Tanda Setia diinspirasikan daripada pengalaman saya sendiri yang pernah kecundang akibat cinta yang tak kesampaian. Insya-Allah, apabila semuanya sudah siap, ia akan dilancarkan dalam masa terdekat," katanya.

Berkongsi mengenai kisah cinta, Nomad juga antara artis yang tidak banyak mendedahkan mengenai kisah romantisnya.

"Setiap orang ada privasi masing-masing dan ada hal yang ingin disimpan untuk diri sendiri serta pasangan. Bagi saya, perkara itu adalah mengenai hubungan cinta saya.

"Apa yang saya boleh kongsikan adalah, saya kini sudah berpunya, namun belum merancang untuk berkahwin dalam masa terdekat kerana ingin memberi tumpuan kepada kerjaya yang baru bermula semula.

"Namun, sekiranya ada berita gembira seperti perkahwinan, saya akan kongsikan dan uar-uarkan," katanya.

Apa yang pasti, Nomad sentiasa mengharapkan agar kemunculan semula dirinya di dalam industri ini akan diterima dengan baik oleh peminat sekaligus membantu memberikan sokongan buat dirinya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 17 November 2020 @ 6:00 AM