Ridzuan Abdul Rahman

Sejak mencipta nama menerusi drama popular Nur Kasih pada 2009, karier Tiz Zaqyah, 32, terus rancak berkembang.

Populariti dan kemantapan lakonan Tiz berjaya membawa impak tersendiri buat drama terbabit dalam kalangan peminat.

Bagaimanapun, ada prosedur yang perlu diikuti jika mahu berurusan dengan Tiz dalam kerjayanya.

Sebagai pelakon yang berpegang pada prinsip profesional, Tiz menetapkan nilai tertentu yang perlu dibayar untuk lakonannya.

"Saya bukan cerewet atau 'demand' harga yang melampau, tapi saya tetap dengan harga yang sesuai dengan bakat. Ia bukan 'demand' tapi itulah nilaian lakonan saya. Jika penerbit hormat harga saya, maka saya hormat mereka. Namun kalau mereka tak menghormatinya, mereka dianggap akan menjatuhkan harga saya," katanya.

Pelakon bernama sebenar Siti Zaqyah Abdul Razak yang menyerlah dengan barisan drama popular seperti Jodoh Itu Milik Kita, Isteri Bukan Untuk Disewa dan Sara Sajeeda ini berkata, dia sukar berkompromi dalam isu ini.

"Nilai saya tetap dan dengan harga itu akan dibayar dengan lakonan yang berkualiti. Saya masuk set bukan untuk main-main.

KEUTAMAAN Tiz sekarang ialah ibu bapa dan membantu menguruskan kucing di rumah.  FOTO: Si Imannn & Haziq Saparudin
KEUTAMAAN Tiz sekarang ialah ibu bapa dan membantu menguruskan kucing di rumah. FOTO: Si Imannn & Haziq Saparudin

Apabila di lokasi saya betul-betul serius bekerja dan hanya satu 'take' yang diambil oleh pengarah untuk buat sesuatu babak. Saya dah buat yang terbaik, jadi janganlah lakukan perkara begini kepada saya. Tak terkecuali juga bayaran kena ikut masa," katanya.

Tiz mengakui tegas dalam soal ini dan sukar menghormati individu yang bersikap begini.

"Perkara ini selalu saya lawan dan suarakan sekiranya berlaku. Saya tegas kerana ia membabitkan gaji dan rezeki. Saya pernah melaluinya dan sekarang pengurus saya tegas dalam hal ini. Kita nak kerja seronok dan bukan nak 'stress'. Namun saya tak sampai meluahkan hal begini di media sosial kerana ia isu peribadi dan rahsia kedua-dua pihak. Kalau rasa tak boleh selesai ikutlah saluran undang-undang," katanya.

Mengulas aktiviti terkini, Tiz berkata, dia baru selesai penggambaran drama bersiri Isteri Misteri untuk TV3 menerusi kerjasama dengan Viu.

Drama komedi arahan Faisal Ishak ini turut dibintangi Azira Syafinaz, Sharnaaz Ahmad, Sharifah Sakinah dan Azar Azmi.

"Projek ini bukan mudah kerana makan masa untuk direalisasikan disebabkan pelbagai masalah antaranya Perintah Kawalan Pergerakan (PKP). Saya gembira dapat bekerja semula bawah arahan Faisal selepas kali pertama bekerjasama dalam Nur Kasih," katanya.

Sepanjang November, Tiz mengambil keputusan berehat seketika daripada lakonan.

"Kalau dapat tawaran pun, biasanya untuk drama episod yang panjang. Jadi saya terpaksa tolak untuk sementara waktu. Apa-apa pun sebagai pelakon, saya akan selalu asah bakat dalam lakonan, tapi apa yang berlaku dalam hidup saya ialah percaturan Allah. Contohnya saya tak sambung belajar dan pilih berlakon. Banyak yang indah saya lalui. Saya juga bersyukur kerana dikenali dengan dunia seni," katanya yang akan terus berlakon selagi diterima.

Tiz juga gembira kerana berjaya memberi inspirasi kepada masyarakat menerusi lakonan. Pada masa sama, ia juga menjadi inspirasi buatnya untuk lebih kuat berdepan dugaan.

TIZ akui tegas, bukan cerewet tapi sesuai dengan bakat ditampilkan.  FOTO: Si Imannn & Haziq Saparudin
TIZ akui tegas, bukan cerewet tapi sesuai dengan bakat ditampilkan. FOTO: Si Imannn & Haziq Saparudin

'Doakanlah saya bertemu jodoh'

Apabila diajukan hal jodoh, Tiz spontan meminta supaya peminat mendoakan jodohnya.

"Tipulah kalau tak rasa risau. Saya melakonkan watak wanita tak kahwin pun dah rasa begitu. Inikan pula dalam dunia realiti. Ibu bapa pun dah berbunyi teringin nak cucu. Persoalan jodoh ini disebut di mana-mana saja, dalam cerita, di surat khabar tapi saya ikut saja aturan yang Allah bagi. Sambil itu, saya usaha kalau kita tahu kita tak elok dan banyak buat salah, kita baiki diri kita," katanya.

Menurutnya, keutamaannya sekarang ialah ibu bapa dan membantu menguruskan kucing di rumah.

"Kadang-kadang fikir letih juga buat seorang diri dan nak juga pasangan yang menyokong. Dulu ibu bapa saya rajin juga temankan saya di lokasi. Sekarang mereka banyak berehat di rumah. Saya pun tak bagi ayah memandu kerana bimbangkan keselamatannya.

"Saya seorang yang tak nak bagi orang lain sedih dan suka bagi mereka gembira. Cukuplah saya bagi orang sedih dalam drama. Kesedihan saya diluahkan semuanya dalam watak," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 15 November 2020 @ 6:00 AM