Oleh Sudirman Mohd Tahir


DRAMA Sara Sajeeda yang ditayangkan di slot Samarinda, TV3 sejak 3 Oktober lalu mencipta fenomena tersendiri.

Drama yang menggabungkan pelakon Malaysia dan Pakistan itu turut menarik perhatian peminat kedua-dua negara.

Sepanjang ditayangkan Sara Sajeeda yang menampilkan pelakon utamanya, Tiz Zaqyah (Sara) dan Arslan Asad (Fawaad Khan) menduduki carta ‘trending’ termasuk menjadi bualan netizen di YouTube.

Lebih menarik, lakonan Tiz dan Arslan mendapat pujian ramai sekali gus mengumpul peminat baharu walaupun itu kerjasama pertama mereka di kaca TV.

Tiz, 31, atau nama sebenarnya Siti Zaqyah Abdul Razak berkata, dia bertuah apabila dipilih terbabit dalam projek drama terbitan Zeel Production itu.

“Saya melakonkan watak Sara dalam drama arahan Eoon Shuhaini ini. Tidak dinafikan pelakon Pakistan kebanyakannya cantik dan kacak. Jadi, saya berasa sangat bertuah dapat memegang watak utama dalam naskhah membabitkan pelakon dari negara berkenaan. Ia rezeki yang tidak mampu ditolak.

“Bayangkan, selepas berkongsi foto bersama Arslan di Instagram, sudah ramai pengikut dan kawan yang tidak sabar menunggu drama ini ditayangkan.

“Kalau nak tahu, ada juga yang sudah tidak keruan melihat wajahnya. Tapi jangan marah, dalam drama ini Arslan pilih saya,” katanya ketawa.

Menurut Tiz, pengalaman bekerja dengan pelakon dan kru produksi berkenaan juga sangat berharga buat dirinya.

“Saya teruja bekerja dengan produksi drama ini. Selama ini, saya hanya mendengar nama dan menonton naskhah terbitan mereka.

“Bagi menyenangkan kerja penggambaran pula, pihak produksi menterjemahkan skrip untuk memudahkan pelakon dan kru Pakistan. Biasalah, masalah bahasa pastinya ada apabila bekerja dengan orang luar,” katanya.

Tiz berkata, berlakon dengan Arslan sesuatu yang menarik apatah lagi masing-masing tahu apa ingin disampaikan seterusnya mudah bagi mereka mencipta keserasian.

Bagi Tiz, apa yang penting adalah profesional dalam bekerja.

“Dari dulu sampai sekarang, saya bukan jenis memilih pelakon gandingan. Saya anggap setiap tawaran adalah rezeki dan kali ini gandingan saya berasal dari Pakistan.

“Saya melihat ini peluang untuk dikenali di negara mereka apatah lagi selepas bekerjasama dengan kru dan pelakon di sana.

“Bekerja dengan Arslan sangat mudah. Dia pun pelakon yang hebat. Tidak sukar untuk kami mencipta keserasian. Masing-masing faham apa yang ingin disampaikan,” katanya.

GANDINGAN dengan pelakon Pakistan,Arslan sebagai pasangan kekasih peluang dikenali di luar negara.  FOTO: Halimaton Saadiah Sulaiman
GANDINGAN dengan pelakon Pakistan,Arslan sebagai pasangan kekasih peluang dikenali di luar negara. FOTO: Halimaton Saadiah Sulaiman

Arslan sudah jatuh cinta

Sejak muncul dalam drama itu, Arslan, 34, mengakui semakin dikenali peminat tempatan berdasarkan kepada pertambahan jumlah pengikut di Instagram.

“Terima kasih kepada pihak produksi kerana memberi kepercayaan kepada saya muncul dalam drama ini. Ini penampilan pertama saya dalam drama membabitkan dua negara.

“Bagi saya, Sara Sajeeda sebuah naskhah yang menarik dan berbeza daripada lain. Disebabkan itu, saya terima projek ini selain ingin mencabar diri bekerja dengan orang luar.

“Saya juga tidak menyangka selepas drama ini ditayangkan jumlah pengikut di Instagram bertambah. Malah, saya mendapat banyak mesej dan komen yang puji lakonan dan drama ini,” katanya.

Arslan berkata, disebabkan drama itu, dia mulai jatuh cinta dengan Malaysia.

“Selama ini saya hanya baca dan melihat Malaysia menerusi Internet. Apabila dapat berlakon dalam drama ini, saya berasa lebih dekat.

“Bukan saja jejakkan kaki, tapi dapat ‘bercinta’ dengan orang di sini. Walaupun hanya dalam drama, saya dapat rasakan orang Malaysia semuanya baik-baik.

“Bukan itu saja, saya jatuh cinta dengan budaya dan makanan yang ada seperti nasi lemak dan kuih-muih. Sudah semestinya, saya takkan lepaskan peluang jika ada tawaran lain di sini,” katanya.

Selain Tiz dan Arslan, pelakon lain antaranya Anmol Baloch (Sajeeda), Fahrin Ahmad, Fouziah Gous, Mas Anizan dan Uyaina Arshad.

Sara Sajeeda ditayangkan setiap Isnin hingga Khamis, jam 10 malam.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 7 November 2019 @ 5:20 AM