CHACHA bersyukur kehadirannya sebagai pelakon mendapat  maklum balas positif.
CHACHA bersyukur kehadirannya sebagai pelakon mendapat maklum balas positif.
Najiy Jefri


Memasuki usia 25 tahun pelakon Chacha Maembong bersyukur dengan laluan kerjaya seni lakonannya yang semakin membuahkan hasil.

Semakin matang dalam membawakan setiap karakter diberikan, maka tidak hairan pemilik nama sebenar Siti Aisyah Ismail ini sering meraih tawaran daripada syarikat produksi.

Terbaharu, lakonannya dalam Cukup Derita Itu yang ditayangkan di slot Samarinda TV3 mendapat sambutan baik daripada peminat drama itu.

Chacha berkata, dia tidak menyangka apabila perjalanan karier seninya masih bertahan sehingga kini dan dipermudahkan.

"Alhamdulillah saya sangat bersyukur apabila kehadiran saya mendapat maklum balas positif. Saya menerima banyak kata-kata positif daripada orang luar.

"Tapi, setiap kali saya ke lokasi penggambaran saya anggap diri masih dalam proses belajar. Saya enggan hanyut dengan pujian sebaliknya saya sedar perlu lebih berusaha keras untuk menempatkan diri dalam bidang ini.

"Saya juga bersyukur rezeki dalam bidang ini sentiasa dipermudahkan. Saya dapat banyak tawaran lakonan sekarang," katanya.

Teruja dengan respons positif terhadap drama Cukup Derita Itu, Chacha bagaimanapun mengakui dirinya tidak terlepas daripada ugutan dan cacian.

Kata Chacha, karakter antagonis yang dibawakan menyebabkan dirinya pernah diugut bunuh sehingga ada yang mahu menyimbah asid ke wajahnya.

"Saya akui setiap kali drama terbabit ditayangkan saya mesti dapat mesej cacian dan makian. Tapi, saya terimanya daripada sudut positif.

"Bila orang geram dengan lakonan kita maknanya penonton dapat merasai karakter yang dibawakan.

"Bagaimanapun, apa yang dipaparkan hanya lakonan semata-mata. Saya bukan seperti itu di luar. Watak Ellana yang dibawakan tak sama dengan diri saya.

"Tapi, saya akui memang ada yang nak bunuh dan simbah asid kalau jumpa saya depan-depan. Saya tak ambil hati pun sebab anggap orang bengang dengan watak Ellana bukan Chacha Maembong," katanya.

CHACHA sudah bersedia untuk berumah tangga.
CHACHA sudah bersedia untuk berumah tangga.

Cinta Beralih mengenai kisah cinta, Chacha mengakui hatinya belum dimiliki sesiapa meskipun sudah bersedia untuk memikul tanggungjawab sebagai isteri.

Kata Chacha, meskipun dia menyasarkan untuk berkahwin pada usia 25 tahun, tapi reda apabila jodohnya belum tiba.

"Sebenarnya saya pun tak tahu berapa lama lagi saya akan single. Sebenarnya di usia sekarang saya sudah tidak mencari sebaliknya lebih menyerah kepada takdir. Kalau ada jodoh.. adalah.

"Lagipun sekarang ini fokus saya adalah kepada lakonan dan bisnes. Saya tiada masa untuk mencari teman hidup dan serah soal jodoh kepada Allah.

"Di mana jalan yang betul.disitu saya pergi. Saya pun sebenarnya dah bosan sendiri sebab umur makin meningkat," katanya.

Kata Chacha, dia bukan individu yang cerewet untuk memilih pasangan hidup kerana apa yang diimpikan hanya lelaki yang mampu memberikan sokongan moral kepadanya.

"Sejujurnya saya dah malas nak mula kenal orang baru sebab kena lalu episod percintaan yang baru. Kalau boleh kalau ada jodoh selepas ini saya nak terus kahwin. Saya nak ikut jejak langkah kakak saya Emma Maembong yang bercinta selepas berkahwin.

"Soal calon suami saya tak kisah dia orang dalam atau luar industri. Bagi saya, kalau dia boleh terima famili dan faham kerja saya sudah lebih daripada cukup.

"Saya pun tak perlukan lelaki yang nak mewahkan saya seperti hadiahkan saya sebuah rumah atau apa-apa kerana sejak kecil saya sudah dididik untuk mencari duit sendiri.

"Saya ada duit simpanan sendiri, cuma saya nak lelaki yang boleh beri saya sokongan dalam apa saja yang saya lakukan. Nak cari golongan ini mungkin susah itu yang hidup saya masih single," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 21 November 2021 @ 6:00 AM