LAN Solo akhirnya tewas di tangan ‘rookie’, Zetty.
LAN Solo akhirnya tewas di tangan ‘rookie’, Zetty.
Norhayati Nordin


CERITA sensasi dan kontroversi menjadi lumrah kehidupan seorang selebriti. Walaupun cuba mengelak, namun akan terkena juga.

Dalam soal ini, ada segelintir selebriti membiarkan sahaja tanpa sebarang jawapan, manakala ada juga yang memilih tampil memberikan penjelasan.

Apapun, semuanya bergantung pada diri sendiri. Namun yang pasti hubung kait cerita sensasi atau kontroversi ini umpama tepuk dada, tanya selera.

Terbaharu, penyanyi, Lan Solo yang selama ini jarang dikait dengan cerita kontroversi tiba-tiba mencetuskan perhatian ramai dengan aksi mesra dan spontannya bersama bakat baharu dikenali Zetty Rashid.

Ia berpunca daripada tindakan berpelukan mereka di pentas Vokal Mania, Sabtu lalu yang begitu menjadi perhatian hingga ditegur netizen.

Pada saingan minggu keenam Vokal Mania itu, Zetty sebagai 'rookie' menewaskan Lan yang juga 'idol' dalam persembahan 'battle'.

Menurut Lan, aksi dia memeluk Zetty itu berlaku secara spontan kerana terkejut dengan kemantapan vokal dan persembahan wanita itu yang didakwa sebagai adiknya.

Lan berkata, dia yang selama ini dianggap sebgai 'idol' unggul pada setiap minggu di pentas Vokal Mania akhirnya tumpas di tangan 'rookie' seperti Zetty. Namun, dia akur dengan kekalahan itu.

ZETTY akui ada hubungan keluarga dengan Lan Solo.
ZETTY akui ada hubungan keluarga dengan Lan Solo.

"Apapun selama bergelar artis sejak 1999, rasanya saya memang tak pernah ada cerita peluk wanita di pentas persembahan. Jadi, bila saya secara spontan memeluk Zetty, pasti kami ada pertalian.

"Lagipun isteri saya, Sheila ada bersama di program itu. Jadi, takkan saya nak buat perkara kurang manis di hadapannya. Bagi saya, tak ada apa nak disensasikan," katanya.

Menurut Lan, dia lebih selesa memilih tidak berbicara terlalu terbuka mengenai hubumgan keluarga antara mereka.

Katanya, cukup orang tahu dia adalah abang, manakala Zetty pula adik.

"Apa yang saya harapkan dan minta kepada netizen supaya menghormati privasi kami. Tidak perlu saya bercerita secara terperinci mengenai hubungan kekeluargaan kami.

"Saya tahu sikap netizen di media sosial yang suka menggali hingga dasar untuk tahu cerita sebenar. Tapi, saya minta hormati peribadi keluarga kami," katanya.

Hubungan 'adik-beradik' antara Lan dan Zetty lebih dahulu diperjelaskan wanita itu selepas baru-baru ini kepada media apabila ditegur netizen yang menyifatkan tindakan mereka tidak manis.

Program Vokal Mania disiarkan TV3, jam 9 malam setiap Sabtu yang dihoskan Datuk AC Mizal dan Azira Syafinaz. Manakala, juri profesional yang menilai pula ialah Yusry Abdul Halim dan Misha Omar.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 12 Disember 2020 @ 6:30 AM