TOMOK bangga berhadapan cabaran 'rookie' dalam Vokal Mania.
TOMOK bangga berhadapan cabaran 'rookie' dalam Vokal Mania.
Syafil Syazwan Jefri

NAMA Tomok, tentunya bukan lagi baharu dalam industri hiburan tanah air.

Tomok yang memulakan kerjaya seni sebagai vokalis kumpulan New Boyz bukan sahaja menempa nama sebagai penyanyi, bahkan pelakon dan pernah menjadi mentor untuk beberapa anak didiknya dalam industri.

Kini, penyanyi yang bergelar 'idol' dalam program realiti, Vokal Mania bersiap sedia menuju pentas akhir pertandingan itu dan tidak memandang remeh kemampuan penyanyi muda yang digelar sebagai 'rookie'.

Baginya, perjuangannya untuk menjadi pencabar buat barisan pelapis ini belum selesai dan tentunya melalui jalan yang mencabar.

"Untuk pentas akhir Vokal Mania, formatnya mungkin tak banyak berbeza dengan format pertandingan mingguan. Namun, bezanya adalah dari segi cabaran memandangkan mereka yang layak ke pentas akhir adalah dalam kalangan penyanyi muda yang berbakat besar," katanya.

Menurut Tomok, kehebatan mereka mampu memberi saingan sengit walaupun kepada 'idol' yang berpengalaman sepertinya.

"Bila dilihat dan dinilai semula persembahan mereka, apa yang boleh saya katakan adalah mereka punya nilai dan bakat tersendiri. Jadi, saya tak boleh memandang rendah kemampuan mereka dan perlu sentiasa bersiap sedia," katanya.

Walaupun ia adalah satu pertandingan, Tomok juga tidak menafikan bahawa timbul rasa bangga melihat kehebatan bakat muda yang masih hijau dalam industri ini.

"Saya memandang mereka sebagai pelapis untuk industri seni muzik tanah air. Dengan kehadiran mereka, apa yang ditonjolkan itu dapat mewarnai industri kita yang sedikit malap apabila dunia dilanda krisis Covid-19.

"Walaupun bersaing dalam pertandingan, saya masih terus memberikan semangat dan sokongan buat mereka. Saya tak mahu mereka melihat pentas pertandingan ini sebagai satu tekanan atau bebanan," katanya.

Pada masa sama, dia juga ingin mengangkat 'rookie' yang bertanding supaya dapat melangkah lebih jauh dalam industri selepas program itu berakhir.

"Jadikan pentas Vokal Mania ini sebagai platform yang mencabar mereka. Pada masa sama, angkat nama dan bakat mereka supaya mendapat tempat dalam industri," katanya.

Selain Tomok, Vokal Mania juga membariskan tiga 'idol' lain iaitu Lan Solo, Aina Abdul dan Indah Ruhaila yang akan berentap dengan 'rookie' yang diumumkan di pentas akhir minggu depan.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 14 Disember 2020 @ 6:25 AM