AINA Abdul. FOTO IG
AINA Abdul. FOTO IG
Najiy Jefri


Kuala Lumpur: Penyanyi Aina Abdul tidak meletakkan sebarang harapan tinggi untuk memenangi pertandingan Vokal Mania yang berlangsung malam ini di TV3. 

Aina berkata, dia bagaimanapun akan memberikan persembahan terbaik di pentas akhir program realiti itu.

"Perjalanan saya bersama 'idol', termasuk 'rookie'  akan melabuhkan tirai malam ini. Banyak pengalaman dan ilmu baharu yang kami timba bersama.

"Setiap 'idol' dan 'rookie' memberikan sepenuh tumpuan untuk memastikan persembahan dibuat mendapat maklum balas yang baik. Saya juga terima setiap komen dan kritikan dengan berlapang dada kerana dapat menjadi pemangkin semangat untuk menjadi terbaik.

"Menang atau kalah, saya serahkan kepada ketentuan Allah kerana apa yang penting, saya mahu memberikan yang terbaik serta penonton terhibur," katanya.

Menurut Aina, dia mengakui peluang menyertai program Vokal Mania adalah satu tuah buat dirinya pada tahun 2020 ini. 

"Insya-Allah, saya akan memberikan 200 peratus pada malam akhir nanti. Saya harap peminat dapat menyokong saya menerusi undian.

"Jujur memikul tanggungjawab sebagai 'idol' dalam Vokal Mania ini adalah  satu tuah yang terjadi di tahun 2020.

"Banyak dugaan yang saya tempuh sepanjang Vokal Mania ini, antaranya ketika saya harus membuat persembahan dari rumah kerana kuarantin sedangkan 'idol' dan 'rookie' lain berada di studio" katanya.

Selain bertarung dengan tiga idol lain iaitu Indah Ruhaila, Tomok dan Lan Solo, penyanyi lagu Sumpah ini juga akan berentap dengan salah seorang daripada empat 'rookie'  iaitu Eranzz Lambert, Danial Chuer, Aisha Retno dan Alif Kadim di pusingan battle.

Pada episod akhir Vokal Mania, seorang 'idol' akan memenangi wang tunai bernilai RM50,000, manakala 'rookie' pula membawa pulang hadiah RM30,000 termasuk peluang merakamkan satu lagu berserta penghasilan sebuah video muzik.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 26 Disember 2020 @ 1:49 PM