Keadaan dua kenderaan yang bertembung berhampiran Balai Polis Sungai Tong, Permaisuri hari ini. Foto Ihsan PDRM
Keadaan dua kenderaan yang bertembung berhampiran Balai Polis Sungai Tong, Permaisuri hari ini. Foto Ihsan PDRM
Nurul Fatihah Sulaini

DUA termasuk kanak-kanak berusia setahun maut selepas kenderaan dinaiki mereka bertembung berhampiran Balai Polis Sungai Tong di Permaisuri petang hari ini.

Mangsa yang maut itu adalah penumpang kenderaan pelbagai guna (MPV) Perodua Alza, Puteri Balqis Maghfirahtul Nafeesa Mohd Azmi, 1, dari Kampung Bukit Kuang Tanggol, Kuala Berang.

Seorang lagi mangsa maut dikenal pasti sebagai penumpang hadapan Proton Saga, Ab Halim Awang, 73, dari Felda Chalok Barat, Bandar Permaisuri selepas disahkan meninggal dunia di Hospital Setiu.

Kemalangan pada 4.30 petang itu turut menyebabkan empat lagi yang menaiki kenderaan bersama Puteri Balqis Maghfirahtul Nafeesa turut cedera.

Mereka itu adalah penumpang hadapannya, Muhamad Azmil Syahmi Mohd Azmi, 10; penumpang belakang, Nik Muhammad Imam Al-Syafie Nik Mustafa, 6; pemandu, Syaubah Kamal, 31, serta seorang lagi penumpang belakang, Muhammad Azmir Azfahsya Rayyan Muhammad Azmi, 7, yang mengalami cedera ringan.

Pemandu kereta Proton Saga, Muhamad Hazwan AB Halim, 27, turut mengalami cedera ringan.

Ketua Polis Daerah Setiu Deputi Superintendan Afandi Hussin berkata, Muhamad Azmil Syahmi dan Nik Muhammad Imam mengalami kecederaan agak parah dalam kejadian itu.

Menurutnya, kemalangan itu dipercayai berlaku apabila kenderaan dipandu Syaubah yang datang dari arah Kota Bharu menghala ke Kuala Terengganu dilanggar kereta yang datang dari arah bertentangan.

"Difahamkan, pemandu Proton Saga dipercayai cuba mengelak sebuah lori yang parkir di sebelah kiri jalan sebelum memasuki laluan bertentangan dan melanggar MPV terbabit," katanya.

Menurutnya, siasatan lanjut sedang dijalankan mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 27 Julai 2020 @ 11:04 PM