ALLAHYARHAM Haji Abdullah aktif dalam aktiviti kemasyarakatan. FOTO Nik Abdullah Nik Omar
ALLAHYARHAM Haji Abdullah aktif dalam aktiviti kemasyarakatan. FOTO Nik Abdullah Nik Omar
Muhamaad Razis Ismail

SEPANJANG hayat Haji Abdullah Haji Abdul Rahman atau lebih dikenali sebagai Tok Guru Haji Lah Lubok Tapah, beliau cukup dihormati bukan sahaja kerana ketinggian ilmu, malah turut aktif dalam aktiviti kemasyarakatan.

Bapa kepada Mufti Wilayah Persekutuan Dr Luqman ini turut menyumbang kepada pembangunan untuk kemudahan penduduk sekitar.

Jadi tidak hairanlah, pakar rujuk bidang fiqah ini menerima anugerah Tokoh Maal Hijrah Negeri Kelantan pada 9 Februari 2005.

Ketua Pendaftar Madrasah Ar Rahmaniah, Pondok Lubok Tapah, Mohd Faizal Jusoh, 38, berkata, Haji Abdullah dilahirkan di Kampung Lubok Tapah, Pasir Mas pada 11 Februari 1933.

Katanya, sejak kecil, Haji Abdullah menerima pendidikan awal daripada ayahnya iaitu Haji Abdul Rahman Che Wan yang mengasaskan Pondok Lubok Tapah sehingga berusia 20 tahun.

"Kemudian Haji Abdullah melanjutkan pengajiannya ke Tanah Suci Makkah selama 14 tahun dari 1953.

"Di sana, Haji Abdullah berguru dengan ramai ulama nusantara dan Arab termasuk Al-Syeikh Ismail Abdul Qadir Al- Fatani, Al-Syeikh Abdul Qadir Abdul Muttalib Al-Mandili, Al-Syeikh Hasan Muhammad Al-Massyat dan Al-Syeikh Sayyid A'lawi Sayyid Abbas," katanya.

Menurutnya, kesungguhan Haji Abdullah ketika menuntut ilmu di Tanah Suci Makkah amat mengagumkan kerana sepanjang 14 tahun di sana, hanya tiga hari beliau tidak hadir kerana demam.

"Malah sepanjang berada di sana, beliau tidak pernah tidur siang kerana sibuk menuntut ilmu dan sering berada di saf hadapan.

"Selepas lima tahun di sana, beliau diizinkan oleh gurunya untuk mengajar di dalam halakahnya sendiri dalam Masjidil Haram selama sembilan tahun," katanya.

MADRASAH Ar Rahmaniah Pondok Lubok Tapah didirikan di perkarangan pondok di Kampung Lubok Tapah, Pasir Mas, Kelantan. FOTO Nik Abdullah Nik Omar
MADRASAH Ar Rahmaniah Pondok Lubok Tapah didirikan di perkarangan pondok di Kampung Lubok Tapah, Pasir Mas, Kelantan. FOTO Nik Abdullah Nik Omar

Tambahnya, pernah diceritakan bahawa Haji Abdullah seorang yang cukup garang namun bertempat dalam memberi didikan kepada anak muridnya.

"Beliau sangat tegas dan berdisiplin dalam hal ketepatan masa, kebersihan diri dan tutur kata.

"Selain itu, beliau juga suka menjamu makanan untuk tetamunya. Pernah satu ketika tetamu yang datang ke rumahnya ketika beliau sedang makan tengah hari, dimarahi kerana terus pulang tanpa makan di rumahnya," katanya.

Beliau berkata, selain sibuk mengajar di pondoknya, Haji Abdullah turut aktif dengan aktiviti kemasyarakatan.

ANTARA buku terbitan Tok Guru Haji Lah Lubok Tapah. FOTO Nik Abdullah Nik Omar
ANTARA buku terbitan Tok Guru Haji Lah Lubok Tapah. FOTO Nik Abdullah Nik Omar

"Antara sumbangannya termasuk pembinaan empat jambatan konkrit di sekitar kampung, membina sebuah Tadika Islam dan berusaha mendapatkan kemudahan asas untuk penduduk kampung seperti bekalan air, elektrik dan jalan raya.

"Selain itu, Haji Abdullah sering menjadi rujukan kepada masyarakat setempat dan luar berkaitan masalah agama dan urusan kehidupan seharian," katanya.

Selain menjadi mudir Pondok Lubuk Tapah, Haji Abdullah turut dilantik sebagai Anggota Jemaah Ulama Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan (MAIK) dan Timbalan Pengerusi (1) Pusat Pembangunan Pondok Berhad.

"Haji Abdullah juga menghasilkan buku bertajuk Persediaan Bagi Sekalian Mukallaf dan Risalah Doa-Doa," katanya.

KOLEKSI buku Tok Guru Abdul Rahman Che Wan tersimpan rapi di Madrasah Ar Rahmaniah.  FOTO Nik Abdullah Nik Omar
KOLEKSI buku Tok Guru Abdul Rahman Che Wan tersimpan rapi di Madrasah Ar Rahmaniah. FOTO Nik Abdullah Nik Omar

Haji Abdullah meninggal dunia pada usia 75 tahun dan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Lubok Tapah.

Kini, anak keduanya, Dr Luqman mengambil alih tugas arwah bapanya menjadi Pengerusi Madrasah Ar Rahmaniah, Pondok Lubok Tapah.

KETUA Pendaftar Madrasah Ar Rahmaniah, Mohd Faizal Jusoh sentiasa membersihkan kubur Tok Guru Abdul Rahman Che Wan. FOTO Nik Abdullah Nik Omar
KETUA Pendaftar Madrasah Ar Rahmaniah, Mohd Faizal Jusoh sentiasa membersihkan kubur Tok Guru Abdul Rahman Che Wan. FOTO Nik Abdullah Nik Omar

INFO

• Dilahirkan Kampung Lubuk Tapah, Pasir Mas, Kelantan, pada 11 Februari 1933.

• Menerima pendidikan awal daripada ayah sendiri iaitu Haji Abdul Rahman Che Wan sehingga berusia 20 tahun sebelum melanjutkan pengajian ke Tanah Suci Makkah.

• Terkenal dengan ilmu fiqah.

• Aktif dalam aktiviti kemasyarakatan.

• Antara jawatan disandang adalah Mudir Pondok Lubuk Tapah, Anggota Jemaah Ulama Maik dan Timbalan Pengerusi (1) Pusat Pembangunan Pondok Berhad.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 21 Mei 2020 @ 7:30 AM