DATUK Ahmad Yakob. FOTO NSTP
DATUK Ahmad Yakob. FOTO NSTP
Hazira Ahmad Zaidi


KERAJAAN negeri mengucapkan tahniah atas pelantikan Dr Luqman Abdullah sebagai Mufti Wilayah Persekutuan yang baharu.

Menerusi kenyataan yang dimuat naik di laman sosial Facebook Menteri Besar Datuk Ahmad Yakob, beliau berkata, Dr Luqman adalah Pengerusi Pusat Pembangunan Pondok Berhad Kelantan.

Terdahulu Pensyarah Akademi Pengajian Islam, Universiti Malaya (UM) Dr Luqman secara rasmi dilantik sebagai Mufti Wilayah Persekutuan kelapan hari ini.

Beliau menggantikan Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad al-Bakri yang dilantik menjawat jawatan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama).

Dr Luqman yang berusia 51 tahun dilahirkan di Kelantan dan anak kepada ulama terkenal iaitu Allahyarham Tuan Guru Abdullah Abdul Rahman yang juga Pengerusi Madrasah Ar Rahmaniah Pondok Lubok Tapah.
Dr Luqman mendapat bimbingan pendidikan agama menerusi Allahyarham bapanya dan aktif dalam pembentangan kertas kerja dalam forum dan seminar sama ada di peringkat kebangsaan atau antarabangsa dalam bidang persoalan wakaf, zakat, usul fiqh juga pengajian tradisional.

Beliau pernah menetap selama empat tahun di United Kingdom ketika melanjutkan pengajian di peringkat Kedoktoran Falsafah (PhD) di Universiti Edinburgh dalam bidang undang-undang harta Islam.

Dr Luqman juga adalah Ahli Lembaga Pusat Pembangunan Pengajian Pondok Kelantan, Ahli Panel Pakar Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) dan Ahli Panel Jemaah Ulama Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan (MAIK).

Sementara itu, Zulkifli yakin dengan kredibiliti Dr Luqman memimpin institusi fatwa di Wilayah Persekutuan seterusnya memberi manfaat besar kepada umat Islam.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 16 Mei 2020 @ 1:41 PM