PELAJAR mengaji al-Quran yang diketuai tenaga pengajar Madrasah Ar-Rahmaniah Ad-Diniah.
PELAJAR mengaji al-Quran yang diketuai tenaga pengajar Madrasah Ar-Rahmaniah Ad-Diniah.

Madrasah Ar-Rahmaniah Ad-Diniah Pondok Lubok Tapah di Pasir Mas antara pondok tertua di Kelantan yang diasaskan pada tahun 1932.

Walaupun sudah 83 tahun penubuhannya, ia masih mengekalkan pengajian mengikut sistem pondok asal.

Pada peringkat awal penubuhannya, pondok itu hanya didatangi warga emas yang mahu menambah ilmu agama.

Bagaimanapun, pada tahun 2009 iaitu ketika dipimpin mudirnya, Dr Luqman Abdullah, pusat pengajian tahfiz mula dibuka kepada remaja yang ingin mempelajari al-Quran secara lebih mendalam.

Selaras dengan perkembangan itu, pondok berkenaan makin ramai didatangi pelajar dari Terengganu, Kuala Lumpur, Perak dan Pahang untuk belajar tahfiz.

Kini, kira-kira 490 orang belajar di pondok itu terdiri daripada pelajar tahfiz, pelajar pondok dan warga emas yang tinggal secara tetap dan dibantu 30 tenaga pengajar berpengalaman.

Di kawasan pondok terdapat enam blok bangunan yang dijadikan asrama dan pusat pengajian dan pembelajaran.

Berhadapan Madrasah Ar-Rahmaniah Ad-Diniah terdapat sebuah makam pengasas Pondok Lubok Tapah, Allahyarham Abdul Rahman Che Wan.

Pusat pengajian itu dibina bagi memartabatkan pengajian pondok untuk memberi pendidikan agama kepada masyarakat serta melahirkan ulama pelapis bagi mewarisi tradisi keilmuan ulama silam.

Kini, Pondok Lubok Tapah merancang menambah pusat pembelajarannya berikutan makin ramai datang ke situ untuk mendalami ilmu agama.

Peluang bersua muka dengan beberapa pelajar Pondok Lubok Tapah yang berusia antara 10 tahun hingga lewat 70-an, jelas membuktikan keazaman serta kesungguhan mereka mempelajari serta mendalami ilmu akhirat secara lebih mendalam.

Sempena sambutan Maal Hijrah baru-baru ini, pondok itu menjemput Pakar Motivasi Dr Sharifah Mazlina Syed Abdul Kadir iaitu wanita Asia pertama yang merentasi Antartika secara solo untuk berkongsi pengalamannya bersama pelajar perempuan pondok itu.

Dr Sharifah Mazlina berkata, beliau terpanggil datang ke pondok itu berikutan ajakan temannya yang juga pelajar di situ dan inilah kali pertama dia memberi ceramah motivasi kepada pelajar pondok.

“Sebelum ini, saya pernah datang ke Kelantan untuk memenuhi jemputan ceramah motivasi untuk anak yatim dan pelajar tahfiz, tetapi kali ini berbeza kerana buat pertama kali saya menjejakkan kaki ke pondok ini,” katanya.

Teruja dengan suasana di pondok itu, Dr Sharifah Mazlina berkata, jika diberi kesempatan, dia ingin datang semula ke situ tetapi sebagai pelajar, bukannya penceramah.

“Insya-Allah, apabila bersara nanti saya akan datang dan tinggal di sini untuk beberapa hari bagi mempelajari ilmu agama dan fokus kepada akhirat tanpa memikirkan bebanan kerja,” katanya.

Mereka yang ingin menghulurkan sumbangan untuk pembangunan Pondok Lubok Tapah boleh berbuat demikian melalui akaun Bank Islam 3018010058294.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 20 November 2015 @ 5:03 AM