Agensi

BEIJING: Seorang selebriti berpengaruh di China digelar Raja Gincu China kerana begitu obses dengan kosmetik itu sehingga mampu mencuba 380 batang gincu sehari.

Oddity Central melaporkan kemampuan lelaki itu mencuba ratusan gincu berbeza dalam satu sesi penstriman secara langsung hingga tujuh atau lapan jam sehari tanpa rehat.

Walaupun ramai wanita mungkin mendapati bibirnya sakit selepas mencuba tiga gincu berturut-turut, dia mendakwa dapat memakai 380 gincu sehari.

Dari situ asal nama panggilan Iron Lips.

Lelaki itu, Li Jiaqi mengakui mencuba pelbagai gincu boleh merosakkan bibirnya.

"Mencuba gincu boleh merosakkan bibir, tetapi saya tidak memperlakukan bibir saya seperti bibir," kata Li.

Tidak jelas apa yang dimaksudkan Li, tetapi dia melakukan demi mencapai beberapa rekod Guinness.

Bukan saja pandai menjual gincu kepada peminatnya, dia juga pakar mengaplikasikannya.

Dia juga pemegang rekod dunia untuk pemakaian gincu paling banyak dalam tempoh 30 saat.

Mendengar celotehnya mengenai warna gincu pasti menarik orang ramai membeli dan mencubanya.

Dia sering menggunakan ungkapan seperti 'warna yang membuat hati saya berhenti', 'bintang seperti kristal', atau 'warna lembut seperti air' dan peminat menyukainya.

"Memakai beg Louis Vuitton tidak sebaik memakai gincu Armani 400 untuk seorang gadis.

"Kenapa? Perkara pertama dilihat lelaki adalah warna gincu anda, bukan beg anda," kata Li dalam rancangan yang disiarkan secara langsung.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 16 Mei 2020 @ 7:00 AM