SALAP bantu lembapkan bibir. GAMBAR hiasan
SALAP bantu lembapkan bibir. GAMBAR hiasan
Yusliza Yakimir Abd Talib


SATU calitan gincu di bibir sudah cukup menambahkan seri wanita yang mahu tampil berkeyakinan, malah menyerikan wajah daripada kelihatan tidak bermaya. Bagi kebanyakan wanita, gincu ialah alat solek yang sangat penting untuk penampilan wajah dan memberikan warna bagi membuatkan bibir semakin segar dan berseri.

Tidak hairanlah puluhan jenama menawarkan pelbagai jenis gincu sama ada dalam bentuk batang atau lembapan yang semuanya mempunyai kelebihan tersendiri.

Tiada gunanya miliki belasan atau puluhan gincu jika bibir tidak sihat dan bermaya bahkan mungkin ramai antara wanita yang jarang memberikan penjagaan sewajarnya buat organ yang satu ini.

Malah ada antara kita yang tidak pernah melakukan perawatan bibir kerana tumpuan biasanya lebih diberikan terhadap kulit wajah.

Oleh kerana bibir anggota yang sentiasa terdedah, secara tidak langsung ia mudah mengalami dehidrasi. Kulit pada bibir juga tidak seperti mana-mana kulit badan, ia nipis dan tidak mempunyai kelenjar minyak untuk melembapkan.

Hasilnya, bibir boleh menjadi kasar dan kadang-kadang menyakitkan akibat luka (bibir merekah). Bibir menimbulkan masalah apabila ia tidak boleh memerangkap lembapan yang cukup dan menyimpannya di sana.

Perawatan dengan salap bibir antara kaedah mudah untuk melembap dan menyegarkan bibir sekali gus menambah seri pada anggota itu.

Meskipun terdapat banyak produk salap bibir di pasaran, membuatnya sendiri di rumah tidaklah sesukar mana malah boleh diadun dengan bahan semula jadi dan selamat untuk kulit.

Sebelum menggunakan salap bibir buatan sendiri, adalah lebih baik sekiranya anda melakukan pengelupasan bibir secara lembut menggunakan pupur.

Antara cadangan untuk proses ini adalah dengan mencampurkan sedikit minyak zaitun dengan gula pasir atau garam dan gosok bibir dalam gerakan membulat secara perlahan-lahan sebelum memakai salap bibir untuk melembapkannya.

Pelbagai variasi salap bibir yang boleh dibuat dan menggunakan minyak yang berbeza untuk masalah bibir yang dihadapi. Ada yang mempunyai antioksidan, vitamin, dan mineral yang baik untuk kulit.

Anda boleh menambah minyak pati seperti tea tree atau lavender untuk membuat salap bibir pelbagai fungsi bahkan boleh digunakan sebagai penghalang gigitan serangga jika disapu pada badan.

Beberapa titis minyak pati kayu manis atau halia juga amat baik bagi meningkatkan peredaran darah dan boleh menjadikan bibir anda kelihatan mungil.

Berikut resipi salap bibir yang boleh dilakukan dengan mudah di rumah. Hanya gantikan pati minyak mengikut aroma yang disukai antaranya mawar, lavender, vanila, buah-buahan dan pudina.

SALAP BIBIR MINYAK DAUN KAYU MANIS

BAHAN:

- 2 sudu lilin lebah (beeswax)

- 1 sudu minyak kelapa organik

- 5 titis pati minyak daun kayu manis

Cara membuatnya:

1. Campurkan lilin lebah dan minyak kelapa ke dalam mangkuk tahan panas.

2. Panaskan periuk kecil, letakkan mangkuk tahan panas berisi beeswax dan minyak kelapa di atasnya. Kacau hingga cair dan rata.

3. Dalam bekas berasingan, titiskan minyak daun kayu manis dan kacau hingga rata.

4. Tuang campuran dalam bekas kecil bertutup. Tunggu hingga mengeras.

Perkara membahayakan bibir yang perlu dielakkan:

1. Merokok boleh merosotkan peredaran darah di bibir dan menyebabkan kedutan lebih cepat.

2. Tiada perlindungan SPF boleh menyebabkan selaran matahari. Beberapa minyak semula jadi yang memberi perlindungan daripada matahari adalah minyak biji lobak merah, biji rasberi, avokado, kelapa dan bijan.

3. Paraben yang sering terkandung dalam kebanyakan gincu komersial boleh merosakkan kulit.

4. Pewangi yang juga terdapat dalam sesetengah gincu boleh mengeringkan kulit.

5. Pemanis tiruan boleh menyebabkan masalah kesihatan.

6. Camphor dan menthol adalah bahan mengeringkan yang sering ditemui dalam produk penjagaan kulit.

7. Udara kering yang terhasil apabila pendingin hawa digunakan boleh menyebabkan bibir kering.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 19 Julai 2019 @ 4:30 AM