BIBIR yang cantik akan memudahkan lagi proses penggayaan gincu. GAMBAR hiasan.
BIBIR yang cantik akan memudahkan lagi proses penggayaan gincu. GAMBAR hiasan.
Siti Nadirah Hafidzin

KEBANYAKAN wanita memiliki sekurang-kurangnya satu warna gincu kegemaran. Ada yang sukakan rona terang, ada pula lebih memilih warna lembut manakala ada pula wanita yang sukakan rona tanah.

Tidak dapat dinafikan, gincu antara alat solek penting wanita kerana calitannya bukan saja mencantikkan wajah, sebaliknya menyerikan penampilan yang kusam.

Lambakan jenama kosmetik dalam pasaran dengan kehadiran pelbagai warna membolehkan wanita memilih jenis yang bersesuaian dengan kulit, pakaian dan personaliti mereka.

Ada yang sukakan kesederhanaan calitan gincu ton semula jadi, ada juga mahu nampak seksi dan berani menerusi warna garang atau terang. Justeru, kebanyakan wanita memilih memakai gincu bibir ketika ke pejabat, pusat beli-belah dan bersiar-siar bagi memastikan wajah tidak kelihatan pucat.

Menjelas lanjut mengenai pemilihan warna gincu, perunding kecantikan, Emelia Roslan berkata, biarpun gincu adalah alat solek penting, tidak ramai wanita tahu memilihnya mengikut keperluan dan kesesuaian diri.

“Ramai yang gemar terikut-ikut dengan aliran semasa sedangkan hakikatnya pemilihan warna gincu yang tepat perlulah sesuai dengan ton kulit, penampilan dan karakter seseorang. Apa yang cantik dipakai rakan tidak semestinya elok pada wajah atau penampilan anda. Ramai wanita suka membeli gincu tanpa memikirkan ia sesuai atau tidak dengan diri.

“Hasil calitan gincu pada bibir berbeza bagi setiap individu. Setiap orang mempunyai warna bibir berbeza. Adakah ia sesuai dengan warna asal bibir, ton kulit dan pemakaian serta bentuk bibir wanita itu sendiri, semua itu perlu difikirkan,” katanya.

Emelia berkata, dia menepis mitos sapuan gincu boleh berubah rona mengikut warna darah kerana perkara itu tiada kaitan disebabkan darah manusia adalah sama - semuanya merah.

“Keadaan kulit bibir yang tidak sihat atau kering juga boleh mengubah warna gincu, selain struktur bibir wanita. Bibir adalah kulit yang paling nipis, sensitif dan perubahan warna pada anggota badan itu boleh terjadi akibat pelbagai faktor termasuk kekurangan melanin, gaya hidup serta cara penjagaannya.

“Sekiranya, anda memiliki bibir yang gelap, ia mungkin dipengaruhi oleh kandungan melanin yang banyak, merokok atau kekurangan penjagaan bibir.

“Penggunaan gincu yang mengandungi bahan kimia tinggi biasanya terkandung dalam koleksi yang tahan lama juga boleh menyebabkan bibir anda mudah tampak gelap dan kusam,” katanya.

PADANKAN TON KULIT

Emelia berkata, kembali kepada cara pemilihan gincu, wanita memiliki kulit cerah biasanya lebih mudah mencari warna yang sesuai untuk kulit mereka berbanding kulit gelap.

“Tidak semua warna gincu boleh dipadankan dengan ton kulit cerah kerana warna yang terlalu kusam dan lembut boleh membuatkan wajah nampak pucat. Tujuan calitan gincu adalah untuk menaikkan lagi seri wajah biarpun tiada solekan tebal dikenakan sepanjang hari.

“Oleh itu, wanita berkulit cerah disaran mencuba rangkaian gincu rona merah jambu untuk imej lembut, jingga bagi penampilan segar dan merah terang pula menimbulkan penampilan berani.

“Pilihan warna merah gelap atau coklat juga sesuai dipakai untuk menghadiri majlis makan malam bagi melahirkan penampilan misteri. Elakkan warna metalik kerana ia membuatkan bibir nampak pucat,” katanya.

Wanita berkulit gelap jangan pula berasa rendah diri kerana rona kulit itu juga mempunyai kekuatan penampilan tersendiri jika pilihan gincu tepat.

“Untuk kulit gelap boleh cuba warna terang dan berani seperti jingga, merah karang, merah terang serta merah jambu malap atau warna beri. Warna hangat ini membuatkan kulit anda lebih menyerlah dan menambah aura seksi semula jadi.

“Elakkan warna pucat atau semula jadi kerana ia boleh menenggelamkan warna asal kulit membuatkan anda tampak lebih gelap,” katanya yang turut menyarankan sapuan pengilat bibir sebagai sentuhan akhir.

Tambahnya, sekiranya tidak pasti mengenai warna sesuai sebaiknya dapatkan nasihat daripada perunding kecantikan atau jurusolek bagi memastikan tidak berlaku masalah tersilap memilih rona gincu sesuai.

“Perkara ini walaupun nampak remeh namun percayalah ia memberi impak besar dalam kehidupan seseorang. Ia juga memberikan keyakinan diri berganda apabila diri anda dipuji dan mengenakan rona gincu sesuai.

“Selain memilih gincu yang padan, diingatkan supaya menjaga kesihatan bibir supaya ia tidak menggelupas, kering dan kehitaman. Semua elemen itu jika tidak dijaga akan memburukkan imej wanita kerana bibir antara bahagian paling utama pada wajah,” katanya.

EMELIA menunjukkan rona gincu yang sesuai dengan ton wajah.FOTO: Rohanis Shukri
EMELIA menunjukkan rona gincu yang sesuai dengan ton wajah.FOTO: Rohanis Shukri

INFO

Punca bibir tidak sihat, kering dan lebam:

- Tidak gunakan pembersih bibir yang betul.

- Cuci bibir menggunakan sabun wajah yang tidak sesuai untuk kelembutan bibir.

- Kurang gunakan pelembap bibir.

- Tidak gunakan pupur bibir khusus.

- Menggunakan gincu yang tidak mengandungi vitamin dan nutrisi diperlukan bibir.

Langkah menutup cela bibir gelap dan kembalikan keremajaan bibir:

- Bersihkan bibir menggunakan pembersih solekan mata. Ini adalah kerana kulit mata adalahsama nipis dengan bibir anda.

- Lakukan pembersihan kulit mati dan kotoran bibir menggunakan pupur khas.

- Gunakan gincu teksturnya matte atau krim untuk menutupi warna bibir yang gelap dan tidak nampak terlalu tebal.

- Elakkan pilihan gincu berkilat kerana teksturnya yang nipis akan menampakkan kehitaman bibir lebih jelas.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 19 April 2019 @ 4:30 AM