AHMAD (kanan) menceritakan kisahnya kepada wartawan Harian Metro.
AHMAD (kanan) menceritakan kisahnya kepada wartawan Harian Metro.
Hafidzul Hilmi Mohd Nor melaporkan dari Lubnan

KELIBAT seorang lelaki bertubuh tegap dan berperwatakan bengis yang sering dilihat membantu setiap kali proses penyerahan sumbangan di kem pelarian di sini menimbulkan tanda tanya.

Dia tidak banyak bercakap selain sangat sukar mengukir senyuman, namun kerajinannya wajar dipuji apabila sentiasa membantu rakan juga kenalan di kem pelarian itu.

Kesempatan penulis bertemu lelaki terbabit yang dikenali sebagai Ahmad, 35, merungkai jawapan mengapa dia berperwatakan sebegitu.

Ahmad mendedahkan dia adalah bekas tentera pemisah di Syria.

Katanya, semua kegembiraan dan senyumannya hilang sejak beberapa tahun lalu selepas menyaksikan kekejaman tentera Bashar.

“Sahabat karib saya meninggal dunia selepas diseksa dan direnjat menggunakan elektrik di kepala di depan mata saya.

“Saya juga menyaksikan ramai rakan saya meninggal dunia akibat menjadi mangsa tembakan rambang tentera Bashar,” katanya.

Tambah Ahmad, lebih menyedihkan, ramai wanita hamil dipaksa meminum racun yang menyebabkan bayi dilahirkan dalam keadaan tidak sempurna.

“Semua kekejaman itu membuatkan saya hilang kata-kata, saya tidak lagi mampu tersenyum apatah lagi gembira apabila mengenangkan nasib mereka.

“Ada enam kumpulan tentera pemisah di setiap wilayah. Walaupun tidak terancang perjuangan kami hanya demi membebaskan Syria daripada kekejaman,” katanya.

Katanya, bagaimanapun dia tidak lagi mampu melihat kekejaman rejim Bashar sebelum memutuskan keluar dari tentera pemisah.

“Disebabkan itu, saya memilih membantu rakan pelarian di sini kerana ia dapat mengurangkan derita di hati.

“Saya menjadi pelarian dan menyertai sukarelawan untuk membantu rakyat dari negara saya,” katanya.

Penulis yang bertemu Ahmad semalam mengikuti misi sukarelawan Lubnan bersama Aman Palestin bagi menyerahkan bantuan musim sejuk kepada 103 kem di Lembah Beqaa dan Aarsal.

Selain menyerahkan sumbangan, misi berkenaan turut menjalankan aktiviti khidmat masyarakat seperti membaiki khemah, membersihkan persekitaran kem dan membantu urusan pentadbiran.

Rakyat Malaysia yang prihatin dengan nasib pelarian Syria dan Palestin boleh menyumbang kepada Aman Palestin menerusi akaun Maybank 562263010787. Untuk maklumat lanjut boleh melayari www.amanpalestin.net.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 22 January 2020 @ 6:02 AM