PELAKON Nabil Ahmad. FOTO Azhar Ramli
PELAKON Nabil Ahmad. FOTO Azhar Ramli
Sudirman Mohd Tahir


PENAMPILAN pelawak terkenal, Nabil Ahmad dalam program MeleTop sejak lapan tahun lalu dilihat kejayaan buat dirinya.

Nabil yang bergandingan dengan Neelofa, mengharapkan program hiburan popular itu berkekalan seperti program lain.

Nabil juga menyasarkan untuk terus bersama program itu sehingga mencapai tempoh 10 tahun.

“Saya mengharapkan MeleTop boleh bertahan bertahun-tahun lagi. Sekarang, usia program ini sudah lapan tahun.

“Sebagai pengacara yang ada sejak musim pertama, sudah tentu saya mahu ia kekal lebih lama. Secara peribadi, saya menyasarkan untuk bersama program ini sehingga tahun ke-10.

“Saya mahu ada di situ dan meraikan ulang tahun sedekad. Malah, kalau boleh, lebih lagi. Kalau nak tahu, ini program secara langsung terpanjang saya pernah buat,” katanya.

Berkongsi mengenai bakal pengganti Neelofa, Nabil mengakui belum mendapat sebarang maklumat.

Malah, Nabil mahu menikmati ‘momen’ akhir bersama Neelofa yang bakal berakhir minggu depan.

“Saya tidak dapat sebarang maklumat lagi siapa yang produksi cari. Malah, tidak ada sebarang rundingan untuk saya pilih siapa yang sesuai.

“Cuma, produksi pernah bertanya saya mahukan pengacara yang macam mana. Ada cadangan diberi, orang itu sudah ada program lain pula.

“Pada masa sama, saya kalau boleh tak nak cari pelawak. Saya nak lahirkan pengacara lain. Contoh Neelofa, kami daripada dua cabang seni berbeza. Alhamdulillah, kami berjaya mencipta keserasian,” katanya.

PENGACARA Program Meletop Astro Ria. FOTO Azhar Ramli
PENGACARA Program Meletop Astro Ria. FOTO Azhar Ramli

Bagaimanapun, Nabil yang juga pengacara program Gegar Vaganza bersedia untuk bergandingan dengan mana-mana pengacara wanita bagi menggantikan Neelofa.

“Saya ada beritahu produksi kena cari yang saya selesa untuk bekerjasama. Pada masa sama, Neelofa sudah meletakkan penanda aras tinggi dalam program itu.

“Jadi, kena cari yang boleh layan seperti Neelofa buat dahulu. Saya pun tidak terfikir dan tidak tahu siapa yang betul-betul boleh ganti.

“Soal bersedia dengan sesiapa saja, sudah tentu saya bersedia. Itu secara profesional sebab bekerja. Jadi, kena sedia terima apa saja berlaku,” katanya.

Mengenai desas-desus mengatakan tempat itu bakal diisi pengacara, Jihan Muse, Nabil mengakui ada mendengar mengenainya.

“Nama dia ada juga saya dengar disebut-sebut. Cuma, saya tidak mahu nanti orang kata pengulangan.

“Kalau dengan Jihan memang sudah selesa tetapi takut jadi macam GV pula. Jadi, di mana keunikan MeleTop nanti? Apa pun, saya okey saja,” katanya

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 29 Disember 2019 @ 5:01 AM