NEELOFA dan Nabil mahu beri peluang kepada orang lain dan fokus kepada pengacaraan saja. FOTO Halimaton Saadiah Sulaiman
NEELOFA dan Nabil mahu beri peluang kepada orang lain dan fokus kepada pengacaraan saja. FOTO Halimaton Saadiah Sulaiman
Syanty Octavia Amry


PENGACARA program MeleTOP, Neelofa dan Nabil Ahmad nekad dengan keputusan masing-masing menarik diri daripada bertanding pada Anugerah Meletop Era 2019 (AME2019) yang akan berlangsung pada 21 April depan.

Mereka berkata, keputusan itu sudah lama dibuat dan bukan atas desakan sesiapa.

"Sudah enam tahun kami bersama MeleTOP. Rasanya sudah tiba masa untuk kami memberikan peluang kepada orang lain dan fokus kepada pengacaraan saja.

"Sekurang-kurangnya tidak akan timbul isu tuan rumah saja yang menang.

"Sejak tahun lalu sudah timbul isu ini dan banyak kritikan yang kurang menyenangkan diterima apabila menang sebelum ini sedangkan fokus saya hanya mengacara," kata Neelofa.

Nabil pula berkata, walaupun pada awal bimbang dengan sambutan peminat terhadap keputusan itu, dia yakin mereka boleh menerimanya dengan hati terbuka.

"Kami sudah lama berfikir untuk membuat keputusan ini bukan dalam keadaan tergesa-gesa.

"Kami juga mahukan persaingan yang sihat dan bukannya selepas dapat anugerah ramai pula yang kecam tidak puas hati," katanya.

Sementara itu, Ketua Strategi Kandungan Hiburan Astro, Raqim Ahmad berkata, keputusan itu dilakukan secara sukarela oleh Nabil dan Neelofa sendiri.

"Perkara ini dibuat bagi memberi peluang kepada rakan artis lain dalam pencalonan. AME menghormati keputusan yang dilakukan kedua-dua mereka," katanya.

Katanya, AME2019 masih mengekalkan Neelofa dan Nabil sebagai pengacara disertai oleh Jihan Muse.

AME2019 akan disiarkan secara langsung dari Axiata Arena, Bukit Jalil, Kuala Lumpur bermula jam 9 malam.

Sebanyak 16 kategori dipertandingkan dan undian boleh dilakukan menerusi laman web AME2019 dan portal Era serta khidmat pesanan ringkas (SMS) bermula 19 Mac ini.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 19 Mac 2019 @ 8:29 PM