Nabil tandatangan kontrak baru. FOTO HALIMATON SAADIAH SULAIMAN
Nabil tandatangan kontrak baru. FOTO HALIMATON SAADIAH SULAIMAN
Rudy Imran Shamsudin


PELAWAK dan pengacara, Nabil Ahmad menandatangani kontrak baru mengendalikan program MeleTop sekali gus menangkis dakwaan dia bakal meninggalkan program infotainment itu.

Nabil menegaskan, kontrak itu hanya akan berakhir pada tahun depan.

Dakwaan mengatakan dia mahu meninggalkan program dikendalikan bersama seorang lagi personaliti TV popular, Neelofa atas kehendak sendiri turut dinafikan Nabil.

“Tidak pernah pula dengar tempat saya akan digantikan pengacara lain untuk musim baru, sebabnya kalau benar pihak produksi mahu pengacara lain, saya sudah boleh tahu,” katanya.

Bagaimanapun apabila dikatakan mahu meninggalkan MeleTop untuk tumpu bidang penerbitan dan kendali program keagamaan, kata Nabil, ia tiada kaitan dengan perubahan berlaku membabitkan dirinya sekarang.

“Perubahan diri itu berlaku kepada setiap orang dan ia tiada kaitan dengan kerja. Lagipun mengendalikan MeleTop bukanlah membebankan sangat bagi saya.

“Tambahan pula saya dan MeleTop sudah sangat sinonim jadi mengapa saya harus meninggalkan program itu,” katanya.

Kata Nabil lagi, hubungannya dengan tenaga produksi MeleTop juga baik dan tidak timbul sebarang masalah sepanjang bekerjasama.

“Jadi mengapa pula saya mahu meninggalkan MeleTop atau mereka mahu mencari pengganti saya. Sekarang ini pun apabila saya bercuti, pihak produksi bermasalah mencari pengganti. Begitulah situasinya betapa saya dan MeleTop terlalu sinonim,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 22 Mei 2018 @ 5:17 PM