NABIL ahmad. FOTO Aziah Azmee
NABIL ahmad. FOTO Aziah Azmee
Syafil Syazwan Jefri


PELAWAK dan pengacara, Nabil Ahmad mengajak rakan pelawaknya yang lain supaya sentiasa berhati-hati dalam melakukan sebarang aksi komedi memandangkan ia bersifat subjektif.

Menurut Nabil, walaupun golongan pelawak sepertinya ada hak untuk menggunakan sebarang ilham, namun setiap idea ada implikasi.

"Masing-masing ada pilihan untuk cakap sesuatu dan gunakan apa saja idea dalam melakukan aksi komedi dan ia bersifat subjektif. Jika mendatangkan kebaikan, maksudnya ia adalah idea atau kenyataan yang baik.

"Justeru, setiap yang diakukan atau tuturkan ada implikasinya. Kalau lawak itu menjadi, maka akan jadilah.Kalau sebaliknya, pasti ada pihak yang akan rasa ia sebagai sesuatu yang salah," katanya kepada Harian Metro.

Menyentuh mengenai isu pelawak, Ilya Buang yang dikatakan digam oleh Majlis Bandaraya Shah Alam dan tidak dapat membuat persembahan dalam satu program TV baru-baru ini, Nabil mengharapkan perkara berkenaan dapat diselesaikan dengan baik.

"Saya akui, saya sendiri sebagai pelawak pun terkesan dengan insiden ini. Saya mengenali Pak Ya (Ilya) dan saya tahu bahawa dia adalah penghidap diabetes. Dia bekerja untuk menampung kos perubatannya.

"Saya harap, isu ini dipermudahkan dan dapat diselesaikan dengan baik," katanya.

Nabil yang juga pengacara program Meletop akan mengacarakan Anugerah Meletop Era 2020 bersama Jihan Muse.

"Kali ini, saya bergandingan dengan Jihan. Ini adalah kali pertama rakan pengacara sebelum ini iaitu Neelofa tidak bersama kami. Tapi, saya mengharapkan dia (Neelofa) dapat buat kejutan sebagai kemunculan khas di acara itu nanti," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 2 Februari 2020 @ 1:20 PM