Oleh Wahi Aziz

Kuala Lumpur: “Saya tak ada dengar apa-apa mengenai hal ini (penyingkiran pengacara). Mungkin lebih baik tanya produksi itu sendiri,” kata pengacara Noor Neelofa Mohd Noor berhubung desas-desus mengatakan dia dan pasangannya pelawak Nabil Ahmad bakal digantikan dengan hos lain dalam program MeleTop.

Neelofa, 26, berkata, dia tidak mengetahui mengenai dakwaan itu kerana hal itu tidak pernah menjadi buah mulut atau disampaikan kepadanya secara tidak rasmi.

“Saya tak ada idea langsung kalau benar dakwaan itu. Yang saya tahu, saya dan Nabil baru saja menandatangani kontrak baru bersama MeleTop. Sebagai hos, saya hanya akan buat kerja saya.

“Kalau nak jawab mengenai khabar angin itu, saya tidak berhak untuk bercakap mengenainya. Setakat ini, sudah tiga musim bersama MeleTop, tak pernah pula timbul sebarang isu atau masalah,” katanya.

Sumber mendakwa, produksi rancangan hiburan terbitan Astro itu kini mempertimbangkan untuk menggantikan Neelofa dan Nabil atau Ahmad Nabil Ahmad, 31, dengan pengacara baru difahamkan seorang pelawak.

Ura-ura mendakwa kononnya, pelawak itu dikatakan bakal menggantikan mereka kerana hubungan baiknya dengan pengurusan atasan stesen terbabit.

Timbul juga spekulasi kononnya, pihak produksi MeleTop tidak menyenangi Neelofa terbabit dalam rancangan itu, sekali gus pengacara itu disebut-sebut mahu digantikan dengan calon lain.

Tambah Neelofa, sepanjang pembabitan dengan rancangan berkenaan dia dan Nabil tidak pernah menimbulkan sebarang masalah dengan produksi itu atau Astro.

“Setiap kali diberikan tugasan saya akan buat sehabis baik. Biar orang menilai kerja saya atas kualiti bukan kerana mengampu atau bodek pihak tertentu. Tak tahulah kalau hal itu boleh menimbulkan perasaan kurang senang kepada pihak tertentu pula.

“Memang tak dinafikan ada sedikit salah faham ketika persiapan Anugerah MeleTop Era baru-baru ini tapi itu perkara biasa dalam produksi mana-mana anugerah. Ia pun sudah diselesaikan dengan baik. Tak tahulah pula kalau ada isu lain yang timbul,” katanya.

Nabil pula berkata, isu pertukaran pengacara adalah perkara biasa dalam penerbitan program televisyen. Katanya, jika ia bakal berlaku dia dan Neelofa masih berbaki 52 episod lagi untuk diselesaikan sebelum kontrak mereka berakhir.

“Kalau pun betul (tukar pengacara), saya percaya ia tidak berlaku dalam masa terdekat. Kami baru saja tandatangani kontrak jadi ada setahun lagi komitmen dengan MeleTop. Kalau lepas itu nanti, tak tahulah.

“Saya hanya jalankan tugas saya. Pihak pengurusan lebih berhak dan tahu apa yang mereka mahukan dalam program itu. Kalau pun ada (calon) yang didakwa mahu menggantikan kami, saya percaya ia bukan dalam masa terdekat,” katanya.

Sementara itu, Naib Presiden Gen Next Astro, Putri Yasmin Megat Zaharuddin berkata, dakwaan itu adalah tidak sahih kerana pihaknya menyenangi komitmen kedua-dua pengacara itu.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 5 Mac 2015 @ 9:24 AM