Mohd Firdaus Ibrahim


TIMBALAN Presiden PKR, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali menegaskan PKR bukanlah dibina oleh seorang individu ataupun satu keluarga sebaliknya oleh rakyat Malaysia.

Menurutnya, dia antara pengasas parti berkenaan pada 4 April 1999 namun digelar pengkhianat oleh pembahas dalam Kongres Nasional PKR yang berlangsung di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MiTC).

“Pada 4 April 1999, saya berada dalam dewan ini sebagai salah seorang yang terpanggil untuk bina parti keadilan nasional ketika itu.

“Saya percaya ramai lagi yang berada dalam dewan ini, tetapi 20 tahun kemudian, pada 7 Disember 2019 saya digelar pengkhianat, yang gelar saya pengkhianat tak ada pun dalam dewan masa itu,” katanya ketika berucap pada Majlis Makan Malam Wawasan Kemakmuran Bersama 2030 di Kuala Lumpur, sebentar tadi.

Azmin berkata, PKR tidak akan kuat tanpa sokongan dan pengorbanan seluruh rakyat Malaysia.

“Saudara saudari, parti ni takkan kuat, utuh dan berjaya tanpa semua yang ada.

“Parti ini bukan dibina oleh seorang, bukan dibina oleh sebuah keluarga, parti ini dibina oleh rakyat Malaysia,” katanya.

AZMIN ketika berucap pada Majlis Makan Malam Wawasan Kemakmuran Bersama di Kuala Lumpur. FOTO Syarfaiq Abd Samad
AZMIN ketika berucap pada Majlis Makan Malam Wawasan Kemakmuran Bersama di Kuala Lumpur. FOTO Syarfaiq Abd Samad

Dalam ucapannya, Azmin berkata, dia antara individu yang mempertahankan Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika dipecat.

“Bukan mudah tuan-tuan nak bina keadilan ini, saya dipenjarakan sebelum Anwar masuk (penjara) pada 20 September... aku masuk dulu, jangan padam sejarah.

“Saya masuk penjara 16 September, ditelanjangkan, dibogelkan, dipijak dihina kerana perjuangan keadilan yang kita bina.

“Sebab itu, saya amat kesal, ada dua tiga kerat nama pun macam bukan nama orang Malaysia... (dakwa) akulah reformis, akulah pejuang, Kamulah pengkhianat...,” katanya.

Mengulas istilah pengkhianat yang diberikan kepadanya oleh pembahas, Azmin menyifatkan mereka hanya cicak mengkarung.

“Kalau nak bahas boleh, (dakwaan) takut tak boleh kritik.... dengan Dr Mahathir (Tun Dr Mahathir Mohamad) aku lawan. Pak Lah (Tun Abdullah Ahmad Badawi) aku lawan, Najib (Datuk Seri Najib Razak) lagi aku lawan, Rosmah (Datin Seri Rosmah Mansor) musuh nombor wahid (satu), (pembahas) ini cicak mengkarung,

“Tak ada masalah, ini kongres, ini bukan ceramah politik, kongres ini parti kerajaan yang memerintah. Rakyat nak tengok pembahas bahas isu ekonomi, Wawasan Kemakmuran Bersama, isu perumahan, nelayan, petani, peneroka Felda... ada atau tidak?

“Sebagai Timbalan Presiden parti, saya malu kualiti pembahas yang dipilih tiada kualiti dan malukan parti,” katanya.

Sementara itu, Azmin pada sidang media menegaskan tidak akan menubuhkan parti baharu.

“Tidak timbul tubuh parti baharu. Parti ditubuhkan rakyat selama 20 tahun, saya akan kekal dalam parti ini, cuma bila ada masalah kita harus bincang cari jalan penyelesaian.

“Saya ajak semua anggota parti supaya segera ketepikan masalah lalu dan bersama-sama maju ke depan sebagai parti lebih kuat bawah kepemimpinan sedia ada sekarang,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 8 Disember 2019 @ 9:04 PM