Hairulazim Mahmud


“RAKYAT tidak berminat untuk melihat pemimpin parti komponen Pakatan Harapan (PH) bersengketa sesama sendiri,” tegas Presiden BERSATU, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Beliau berkata, apa yang membimbangkan rakyat ialah percakaran sesama sendiri dalam kalangan pemimpin PH akan menjejaskan tumpuan kerajaan kepada permasalahan dihadapi mereka.

Katanya, parti komponen berkenaan kini berada dalam kerajaan dan sepatutnya sebarang masalah berbangkit diselesaikan dengan segera.

“Sebagai pimpinan dalam PH, saya berkongsi sentimen sama iaitu sebaik mungkin tiada masalah dalaman parti atau komponen PH.

“Kalau ada berbangkit, carilah penyelesaian cepat adalah lebih baik, lupakan sengketa, cari jalan terbaik dengan semangat bersama dan perpaduan yang boleh bantu kita laksanakan amanah dengan lebih berkesan,” katanya.

PENGURUSAN kanan MPB bertemu Muhyiddin di Bangunan Perdana Putra, di Putrajaya.
PENGURUSAN kanan MPB bertemu Muhyiddin di Bangunan Perdana Putra, di Putrajaya.

Beliau berkata demikian kepada media selepas Majlis Pelepasan Bantuan Pasca Banjir anjuran pertubuhan bukan kerajaan belia di Putrajaya, hari ini.

Beliau mengulas kemelut dalaman PKR membabitkan Presidennya, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Timbalannya Datuk Seri Mohamed Azmin Ali ketika ini.

’Kartel’ Mohamed Azmin sebelum ini dilabelkan sebagai pengkhianat oleh segelintir pemimpin dan ahli parti itu berikutan kemelut berkenaan.

Beliau turut membayangkan supaya semua ahli PKR membuka ‘buku baharu’ dan mengorak langkah ke depan sebagai parti lebih kuat menerusi kepimpinan sedia ada.

Percaturan itu menolak kemungkinan Ahli Parlimen Gombak itu mahu mengambil keputusan nekad keluar dari PKR dan menubuhkan parti baharu seperti diuar-uarkan beberapa pihak sebelum ini.

Muhyiddin berkata, semua komponen PH sekarang mesti memberi tumpuan untuk membantu rakyat dalam banyak isu.

“Yang kita harap ialah dapat membantu rakyat dalam isu ekonomi, kos sara hidup, sediakan peluang pekerjaan yang banyak, sediakan kemudahan kebajikan dan lain-lain.

“Kita mahukan perpaduan yang bantu kita laksanakan amanah dengan lebih berkesan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 11 Disember 2019 @ 4:21 PM