Nurul Hidayah Bahaudin


BAYI perempuan berusia tiga minggu maut selepas enam hari dirawat di hospital akibat dicekik, manakala ibunya kritikal kerana ditikam menggunakan pemutar skru di sebuah apartmen di Batu Caves, Gombak, 14 November lalu.

Bayi berkenaan disahkan meninggal dunia jam 4.30 pagi, 19 November lalu ketika dirawat di Hospital Selayang, manakala ibunya dilaporkan dalam keadaan kritikal.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Selangor Senior Asisten Komisioner Fadzil Ahmat berkata, pihaknya menerima maklumat berhubung kejadian itu kira-kira jam 7 pagi.

“Dalam kejadian ini, wanita berusia 42 tahun parah selepas ditikam menggunakan pemutar skru di belakang kepala, manakala bayinya dicekik.

“Susulan itu, kami menahan dua wanita dan seorang lelaki berusia antara 19 hingga 27 tahun yang dipercayai terbabit dalam kejadian ini pada hari sama (kejadian),” katanya ketika ditemui, hari ini.

Fadzil berkata, hasil siasatan mendapati suspek utama iaitu seorang wanita berusia 25 tahun bersama pembantu rumah menyerang mangsa kerana menjalinkan hubungan dengan suaminya di rumah berkenaan.

“Suspek dikatakan bertindak sedemikian kerana berang dengan mangsa yang menjalinkan hubungan sulit dengan suaminya hingga melahirkan anak.

“Kami turut merampas pemutar skru yang digunakan suspek menikam mangsa di lokasi,” katanya.

Beliau berkata, wanita terbabit dan pembantu rumah berkenaan direman selama empat hari bermula 15 hingga 19 November dan reman disambung semula lima hari lagi untuk siasatan lanjut.

“Suami suspek berusia 27 tahun yang juga ahli perniagaan pula direman selama tujuh hari bermula 17 hingga 23 November untuk membantu siasatan.

“Sebelum ini, kes disiasat mengikut Seksyen 326 Kanun Keseksaan. Namun, kematian bayi itu menyebabkan siasatan dilakukan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 21 November 2019 @ 12:19 PM