MOHD Azmi menerima tiga jahitan di perut akibat ditikam di perut dan lengan kiri dengan pemutar skru oleh seorang lelaki di kawasan IKS Malaysia-Kuwait, Permatang Tinggi Bukit Tengah di Bukit Mertajam. FOTO Ihsan Polis
MOHD Azmi menerima tiga jahitan di perut akibat ditikam di perut dan lengan kiri dengan pemutar skru oleh seorang lelaki di kawasan IKS Malaysia-Kuwait, Permatang Tinggi Bukit Tengah di Bukit Mertajam. FOTO Ihsan Polis
Hadzlihady Hassan


ANGGOTA polis ditikam di perut dan lengan kiri dengan pemutar skru oleh seorang lelaki di kawasan Industri Kecil dan Sederhana (IKS) Malaysia-Kuwait, Permatang Tinggi Bukit Tengah di Bukit Mertajam, semalam.

Dalam kejadian 7.30 malam itu, Koperal Mohd Azmi Satiman, 42, yang bertugas di unit Kereta Peronda Polis (MPV) Ibu Pejabat Polis Daerah Seberang Perai Tengah menerima tiga jahitan di perut dan diberi cuti sakit selama dua hari.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah, Asisten Komisioner Nik Ros Azhan Nik Ab Hamid berkata, ketika kejadian anggota polis terbabit membuat rondaan bersama rakan setugas sebelum terserempak suspek yang berada dalam keadaan mencurigakan.

“Lelaki terbabit ketika itu duduk di atas motosikalnya dan anggota yang curiga melihat kelakuannya itu cuba menahan suspek.

“Suspek bagaimanapun terus mengeluarkan pemutar skru dan menyerang serta menikam anggota polis terbabit di perut dan lengan kiri,” katanya kepada wartawan Harian Metro.

Nik Ros Azhan berkata, suspek yang berusia 38 tahun serta tidak bekerja itu berjaya ditahan dan semakan mendapati dia mempunyai tiga rekod lampau kes dadah.

“Polis turut merampas pemutar skru yang digunakan suspek dan dia kini direman selama tiga hari bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan.

“Bagaimanapun, ujian awal air kencing mendapati dia bebas daripada pengaruh dadah, namun siasatan lanjut masih dijalankan untuk mengenalpasti motif dia bertindak demikian,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 18 Jun 2019 @ 3:38 PM