Hairulazim Mahmud


BAYI lelaki tidak cukup bulan yang ibunya ditikam semalam, selamat dilahirkan melalui kaedah pembedahan.

Keadaan bayi berkenaan selamat dan tidak mengalami sebarang kecederaan.

Wanita sarat mengandung itu cedera ditikam suaminya berusia 39 tahun di rumahnya di Putrajaya, semalam.

Lebih menyayat hati, mangsa yang berusia 35 tahun, memandu sendiri hampir tiga kilometer dari kediamannya di Presint 9 ke Hospital Putrajaya sebelum mendapatkan rawatan.

Sebaik tiba di hospital, wanita berkenaan terpaksa menjalani pembedahan bagi menyelamatkan kandungan berusia 37 minggu itu.

Ketua Polis Daerah Putrajaya Asisten Komisioner Rosly Hasan berkata, mangsa mengalami luka di perut dan jari kiri, lengan tangan kanan serta di belakang kanan badan.

“Semalam pada 9.50 pagi, seorang doktor bertugas di Hospital Putrajaya menerima seorang pesakit (mangsa) perempuan Melayu yang dibawa masuk oleh anggota Jabatan Kecemasan di Zon Kuning.

“Mangsa cedera dan juga sakit di bahagian perut dan bimbang akan kandungannya.

“Bayi lelaki berjaya dilahirkan melalui pembedahan dan keadaannya stabil serta tidak cedera,” katanya, hari ini.

Sehubungan itu, Rosly berkata, pasukan Jabatan Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Putrajaya berjaya menahan suspek di tempat kejadian dan berjaya rampas barang kes iaitu sebilah pisau.

“Suspek tiada rekod jenayah dan bekerja sebagai jurutera audio di Kuala Lumpur,” katanya.

Katanya, suspek ditahan reman sehingga 15 November ini dan kes disiasat mengikut Seksyen 326 Kanun Keseksaan.

Berita berkaitan

Guru hamil ditikam suami

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 9 November 2019 @ 2:03 PM
KEADAAN seorang guru wanita dan anaknya yang dilahirkan selepas pembedahan akibat ditikam suaminya di Hospital Putrajaya.
KEADAAN seorang guru wanita dan anaknya yang dilahirkan selepas pembedahan akibat ditikam suaminya di Hospital Putrajaya.