Samadi Ahmad

Puchong: Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) sedia memberi perlindungan kepada bayi perempuan yang ditikam bapa kandungnya.

Menterinya, Datuk Seri Rina Mohd Harun berkata, kes berkenaan masih dalam siasatan polis dan selepas ini pihaknya akan mengenal pasti dan mencari punca kejadian sebenar kerana kes itu membabitkan ahli keluarga terdekat mangsa.

Menurutnya, beliau merasa kesal dengan apa yang berlaku dan perkara itu tidak sepatutnya terjadi serta berharap perkara sama tidak akan berulang membabitkan keluarga lain.

"Institusi keluarga perlu memainkan peranan penting sekiranya melihat dan mengetahui ada dalam kalangan ahli keluarga yang mempunyai perubahan emosi supaya segera merujuk dan mendapatkan bimbingan kaunseling," katanya kepada media selepas menyampaikan bantuan bakul makanan Program Kembara Prihatin Negara (KPN) di Pangsapuri Cempaka, Bandar Bukit Puchong 2 di sini, hari ini.

Sebanyak 45 keluarga yang menerima bantuan itu terdiri daripada ibu tunggal, pesakit kronik dan golongan kurang upaya (OKU).

Laporan Harian Metro sebelum ini.
Laporan Harian Metro sebelum ini.

Semalam, dilaporkan bayi perempuan berusia 18 bulan parah dan terburai usus akibat ditikam di perut oleh bapa kandungnya Flat Puchong Permai.

Bapa kandung mangsa yang berusia 27 tahun itu dikatakan tiba-tiba mengamuk sebelum bertindak menikam mangsa dalam kejadian pada 3.45 petang.

Bayi berkenaan kini dirawat di Hospital Kuala Lumpur (HKL) dan mangsa dikatakan tinggal bersama bapa, nenek dan datuknya selepas ibu bapanya bercerai.

Berita berkaitan

Bayi perempuan parah ditikam bapa

Bayi ditikam bapa stabil selepas jalani pembedahan

Suspek panas baran, tertekan, positif syabu

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 13 Disember 2020 @ 6:22 PM