Antara foto yang diambil Zaid pada satu majlis pengebumian di Seremban tiga tahun lalu. FOTO Ihsan Zaid Hosni
Antara foto yang diambil Zaid pada satu majlis pengebumian di Seremban tiga tahun lalu. FOTO Ihsan Zaid Hosni
Khairul Najib Asarulah Khan


“SEBAIK melangkah masuk ke perkarangan rumah arwah, tetamu tumpu ke arah saya.

“Mereka pelik melihat saya membawa kamera serta lensa ke majlis pengebumian itu.

“Ketika itu, saya mula gelisah dan segera mencari ahli keluarga arwah,” kata jurugambar Zaid Hosni, 32.

Peristiwa tiga tahun lalu itu antara pengalaman yang sukar dilupakan Zaid sejak dia menjadi jurugambar lapan tahun lalu dengan ditawarkan mengambil gambar pada satu majlis pengebumian di Seremban.

Katanya, sebelum hari kejadian itu dia mendapat panggilan daripada salah seorang ahli keluarga arwah yang memintanya mengambil gambar majlis berkenaan.

“Mulanya saya pelik dan bertanya semula untuk kepastian sama ada ia majlis pengebumian atau tahlil.

“Selepas dia menyatakan majlis pengebumian, terlintas ingin menolak tawaran itu namun selepas dijelaskan gambar itu sebagai kenangan untuk mereka sekeluarga dan merasai keinsafan kelak saya menerima tawaran itu,” katanya.

Zaid terpaksa mengambil gambar satu majlis pengebumian dari jauh. FOTO Ihsan Zaid Hosni
Zaid terpaksa mengambil gambar satu majlis pengebumian dari jauh. FOTO Ihsan Zaid Hosni

Mengulas lanjut, Zaid berkata, dia sememangnya berdebar untuk mengambil gambar suasana kesedihan itu.

“Sebelum ini saya hanya tangkap gambar majlis kegembiraan seperti perkahwinan, majlis rasmi dan aktiviti tertentu namun ini sebaliknya serta berkait rapat dengan emosi kesedihan.

“Cabaran yang saya hadapi adalah mencari sudut sesuai mengambil gambar.

“Saya tak boleh mengarahkan mereka membuat aksi tertentu selain meminta ke tepi untuk memberi laluan kepada saya,” katanya.

Zaid berkata, di tanah perkuburan itu dia terpaksa berdiri jauh merakamkan suasana berkenaan.

“Apabila saya menghampiri pusara arwah, bukan saja imam malah orang sekeliling turut memandang ke arah saya mungkin disebabkan bunyi kamera ketika merakam gambar itu mengganggu mereka.

“Berikutan itu, saya terpaksa menangkap gambar dari jauh termasuk menggunakan lensa telefoto (jarak jauh),” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 20 November 2019 @ 10:08 PM