Syazwan Msar


SOKONGAN padu daripada ahli keluarga pemain yang diterbangkan khas untuk perlawanan terakhir menentang Thailand jelas menjadi tonik kepada skuad Bawah 18 tahun (B-18) apabila berjaya menundukkan Thailand 1-0 di Stadium Nasional Olimpik,Phnom Penh, hari ini.

Kehadiran keluarga Shafi Azswa dan Aidil Azuan yang tiba awal pagi tadi untuk memberi kejutan istimewa menambah semangat skuad B-18 untuk beraksi cemerlang dengan menyekat setiap serangan anak buah Ithsara Sritharo.

Jelas sekali dengan menjadi pendahulu kumpulan G menerusi 12 mata mengesahkan pasukan B-18 akan beraksi di pusingan akhir Kejuaraan Konfederasi Bolasepak Asia (AFC) Bawah 19 Tahun (B-19) 2020 di Uzbekistan.

Separuh masa pertama menyaksikan tiada sebarang jaringan gol dicipta walaupun lebih Malaysia lebih menguasai perlawanan dan kerap melakukan serangan berbahaya ke kubu Thailand.

Gandingan mantap Luqman Hakim Shamsuddin, Fakhrul Iman dan Umar Hakeem dalam merencanakan serangan berjaya memporak perandakan kubu lawan hingga menyebabkan pertahanan Thailand tidak ‘senang duduk’.

Skuad B-18 hampir mencipta jaringan seawal minit ketiga namun sepakan percuma Mukhairi Ajmal berjaya ditepis penjaga gol lawan Siriwat Ingkaew.

Thailand melakukan serangan balas namun gagal menemui penyudahnya apabila pertahanan kental negara diketuai Harith Haiqal Adam berjaya menidakkan setiap peluang Thailand.

Malah, Thailand yang buntu bahagian serangan mengeluarkan penyerangnya Thana Isor dan memasukkan Kritsada Nontharat m-28.

Malaysia mendapat peluang terbaik menerusi dua lagi sepakan percuma selepas Luqman Hakim dijatuhkan turut gagal disempurnakan Ajmal seterusnya kedudukan kekal 0-0 hingga wisel tamat separuh masa pertama ditiup.

Separuh masa kedua menyaksikan Malaysia hampir berada di depan pada m-57 namun rembatan Alif Mutalib sedikit tersasar sekali gus memberi kelegaan kepada skuad muda Gajah Putih.

Usaha berterusan anak buah Brad Maloney akhirnya berbaloi apabila Umar Hakeem berjaya menyumbat gol tunggal perlawanan hasil hantaran Luqman Hakim pada m-83.

Malaysia yang melakukan dua tukaran pada separuh masa kedua dengan memasukkan Aiman Afif dan Fahmi Daniel berjaya mengekalkan rentak permainan dengan terus melancarkan serangan berbahaya ke kubu lawan.

Keputusan kekal hingga tamat perlawanan sekali gus menyaksikan Malaysia mara ke pusingan akhir Kejuaraan AFC 2020 dengan menjadi pendahulu kumpulan G.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 10 November 2019 @ 7:02 PM
Skuad B-18 negara akan beraksi di Uzbekistan tahun depan. FOTO PERSATUAN BOLASEPAK MALAYSIA (FAM)
Skuad B-18 negara akan beraksi di Uzbekistan tahun depan. FOTO PERSATUAN BOLASEPAK MALAYSIA (FAM)