Skuad Malaysia B-18. FOTO Ihsan FAM
Skuad Malaysia B-18. FOTO Ihsan FAM
Syazwan Msar


SKUAD Malaysia bawah 18 tahun (B-18) gagal mempertahankan kejuaraan Kejohanan B-18 Persekutuan Bolasepak ASEAN (AFF) selepas tewas 0-1 kepada Australia pada aksi final di Stadium Thong Nhat, Vietnam, sebentar tadi.

Skuad kendalian Brad Maloney dilihat lebih berpeluang merangkul kejuaraan itu namun ternyata tuah lebih memihak kepada anak buah Gary Van Egmond untuk memadam impian Malaysia bergelar juara untuk kali kedua berturut-turut.

Separuh masa pertama menyaksikan Australia lebih menguasai perlawanan apabila bijak menggunakan kelebihan fizikal bagi melancarkan serangan ke kubu lawan.

Jelas sekali serangan berbahaya yang diketuai Lachlan Brook dan Marco Tilio hampir menggegarkan gawang skuad muda negara namun berjaya dinafikan kekentalan barisan pertahanan Malaysia.

Barisan pemain muda negara pula gagal merencanakan sebarangan serangan apabila hanya melakuan hantaran bola tinggi dengan mengharapkan Luqman Hakim Shamsuddin mengejar seterusnya melakukan serangan.

Sebaik sepak mula separuh masa kedua menyaksikan skuad negara tampil lebih berkeyakinan.

Malaysia hampir berada di depan pada minit 65 apabila sepakan Firdaus Khaironnisam dari luar kotak penalti sudah menewaskan Kai James Park namun dinafikan pula oleh palang sekali gus memberi kelegaan kepada kem Australia.

Gerakan merbahaya yang dilakukan Luqman juga turut menguji benteng pertahanan Australia namun penyudah yang lemah gagal merobek gawang lawan.

Malaysia yang terpaksa melakukan pertukaran penjaga gol dengan memasukkan Firdaus Irman Mohd Fadhil bagi menggantikan Sikh Izhan Nazrel Sikh Azman akibat kecederaan ternyata gagal menghalang kemaraan Australia apabila Lachlan Brook menjaringkan gol tunggal perlawanan berpunca dari serangan balas pantas untuk merembat gol minit 80 menewaskan Firdaus Irman.

Walaupun anak buah Maloney cuba mencari gol penyamaan namun Australia mula bermain secara bertahan sekali gus sukar untuk merobek gol lawan sekali gus keputusan kekal hingga tamat perlawanan.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 19 Ogos 2019 @ 10:48 PM