KEMASUKAN Hadi Fayyadh di separuh masa kedua juga gagal memberi impak. FOTO Ihsan Persatuan Bolasepak Malaysia
KEMASUKAN Hadi Fayyadh di separuh masa kedua juga gagal memberi impak. FOTO Ihsan Persatuan Bolasepak Malaysia
Syazwan Msar


Kuala Lumpur: Pintu skuad muda negara untuk melangkah ke pusingan seterusnya sudah tertutup apabila tewas 0-3 kepada Thailand dalam perlawanan kedua kumpulan C Piala Asia Bawah 23 tahun (B-23) sebentar tadi.

Perlawanan yang berlangsung di Stadium Bunyodkor, Tashkent itu menyaksikan skuad kendalian Brad Maloney cukup sukar untuk menyekat serangan pasukan Gajah Putih sekali gus terpaksa berputih mata untuk meraih sekurang-kurangnya satu mata untuk Malaysia.

Separuh masa pertama menyaksikan skuad B-23 negara terlebih dahulu menguji gawang pasukan lawan menerusi rembatan kapten pasukan Mukhairi Ajmal namun sedikit tersasar.

Thailand yang dilihat membariskan enam pemain kacukan berpengkalan luar negara ternyata lebih menguasai permainan dengan sering merencanakan serangan berbahaya ke kubu Malaysia.

Usaha skuad kendalian Worrawoot Srimaka ternyata berhasil apabila penyerangnya Suphanat Mueanta berjaya menyumbat gol pertama pada minit 23 untuk Thailand mendahului 1-0.

Gol berkenaan menyebabkan skuad B-23 hilang arah apabila dilihat kurang idea dalam melancarkan serangan sekali gus menyaksikan kedudukan 1-0 kekal hingga separuh masa pertama tamat.

Sepak mula separuh masa kedua menyaksikan Maloney memasukkan Hadi Fayyadh Abdul Razak untuk menyuntik lagi jentera serangan dalam usaha mencari gol penyamaan.

Namun, sebaliknya berlaku apabila Thailand pula semakin garang mengatur serangan seterusnya berjaya melebarkan jumlah jaringan menerusi gol kedua oleh Channarong Promsrikaew pada minit ke 69.

Kubu pasukan negara terus bocor selang empat minit kemudian apabila Suphanat bijak meloloskan diri daripada dua pertahanan negara sebelum merembat masuk gol ketiga untuk Thailand mendahului perlawanan 3-0.

Keputusan 3-0 kekal hingga tamat perlawanan sekali gus menyaksikan skuad B-23 kempunan untuk menempah tiket ke pusingan seterusnya selepas gagal mengutip sebarang mata dalam dua perlawanan diharungi mereka.

Pasukan muda negara berpeluang untuk sekurang-kurangnya membawa pulang satu mata apabila dijadualkan bertemu Vietnam sebagai pelengkap jadual saingan Kumpulan C Piala Asia B-23 pada Rabu ini.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 6 Jun 2022 @ 1:15 AM